KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2011: Akibat kesilapan teknikal,
penganjur Anugerah Industri Muzik Ke 18 (AIM 18) telah pun menarik balik trofi
kemenangan Yuna menerusi kategori Lagu Terbaik dan diberikan kepada Anuar Zain
menerusi lagu Sedetik Lebih.
Meskipun mendapat markah tinggi dalam set penjurian untuk
kategori Lagu Terbaik, namun Yuna tidak menepati kriteria yang ditetapkan
penganjur kerana telah pun tewas dalam kategori Lagu Pop Terbaik.
Anugerah tersebut sebaliknya diserahkan kepada penyanyi dan
pencipta lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim sebagai pemenang
yang layak, juga berdasarkan kemenangan bagi kategori Lagu Pop Terbaik.
Menganggap perkara yang berlaku sebagai sesuatu yang sangat
memalukan dirinya, Anuar Zain berharap selepas ini kejadian seperti ini tidak
akan berlaku lagi.
"Saya akui perkara ini sesuatu yang pelik dan memalukan
saya. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana lagi. Saya sendiri
berfikir, bagaimana mahu berdepan dengan Yuna, diri sendiri dan orang ramai
bila diberi tahu dengan berita ini. Kerana dalam hal ini, kami berdua menjadi
mangsa keadaan.
"Bagi saya kalau perkara ini hanya diam-diam sahaja pun
tidak mengapa dan anugerah ini tidak perlu diberikan semula kepada saya dan
Edry. Berat untuk saya menerima perkara ini, kerana saya juga memahami perasaan
Yuna dan menghormati dirinya.
"Namun kerana menghormati pihak penganjur yang mengakui
kesilapan mereka lalu, jadi saya menerimanya," katanya ketika ditemui
ketika majlis sidang media bagi membetulkan keputusan Lagu Terbaik AIM18, di
sini petang tadi.
Mengharapkan apa yang berlaku tidak akan berulang lagi, kata
Anuar Zain, perkara tersebut pastinya mencatatkan sebuah sejarah tersendiri
bagi majlis anugerah yang diiktiraf ramai itu.
"Perkara ini satu sejarah buat AIM dan akan dikenang
untuk selama-lamanya. Saya sendiri tercatat dalam sejarah ini dan saya juga
tidak mahu ia berlaku.
"Saya juga mahu menegaskan di sini, baik saya mahupun
Edry, kami sama sekali tidak pernah berjumpa sesiapa untuk mempertikaikan
mengenai isu tersebut," katanya
Tidak mengerti mengapa set penjurian dibahagikan kepada dua,
jelas pelantun lagu Lelaki Ini, seharusnya pihak penganjur selepas ini hanya
menyediakan satu set penjurian sahaja.
"Saya rasa tidak perlulah hendak dibuat kepada dua set
penjurian kerana khuatir keputusan pemenang diketahui juri. Ambil saja juri
yang diyakini dan lakukan prosedur yang sewajarnya.
"Mungkin mereka perlu menandatangani surat perjanjian
dan sebagainya untuk tidak membocorkan rahsia. Jadi dari situ, apabila pemenang
bagi setiap kategori muzik telah diketahui mereka hanya perlu mengadili lagu-lagu
daripada pemenang kategori tersebut untuk memilih Lagu Terbaik," katanya
menyuarakan pendapatnya.
No comments:
Post a Comment