BETUL KE AWIE BERCINTA DENGAN MAYA KARIN?
CUMA DALAM
teater
Supermokh Sebuah Muzikal Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur
PADA sidang akhbar pementasan teater
Supermokh Sebuah Muzikal Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru
ini, kelihatan sosok tubuh Awie yang agak susut berbanding sebelumnya.
Ketika bertemu dengannya sebaik
sahaja majlis berakhir, Awie tidak menafikan perkara tersebut. Malah, dia
memberitahu, ukuran pinggangnya kini sudah menjadi 30 inci (76 sentimeter),
berbanding 36 inci (91 sentimeter) beberapa bulan yang lalu.
Apabila ditanya tentang tubuhnya
yang semakin susut, dia sekadar berkias dengan memberitahu semuanya berlaku
lantaran kesibukannya di lokasi penggambaran dan menguruskan anak-anak.
“Tidak dinafikan, pada bulan puasa
lalu aktiviti harian saya agak padat. Biasanya saya akan memasak dan bersahur
bersama-sama anak-anak, kemudian pada sebelah siang saya terbabit dengan
penggambaran filem Upin Ipin.
“Selepas itu, saya akan pulang ke
rumah dan berbuka puasa dengan anak-anak. Kemudian, saya akan menyambung semula
kerja-kerja saya.
“Sehinggakan ada masanya saya
terlupa hendak makan. Saya tidak menimbang berat badan, tetapi sedar dengan
perubahan tubuh saya ini,” jelasnya yang sekali lagi membawakan watak
Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari selepas pementasan pertama, Supermokh Sebuah
Muzikal pada tahun lalu.
Biarpun sudah memberikan penjelasan
mengenai tubuhnya yang susut, Awie turut ditanya sama ada ia turut berpunca
daripada permasalahan rumah tangga dengan Rozana Misbun yang dihadapinya
sekarang ini.
Dengan wajah yang agak serius, dia
mengakui bahawa masalah berkenaan juga antara yang menjadi faktor utama di
sebalik perubahan tubuh badannya itu sehingga dia pernah mengambil keputusan
untuk berehat.
“Sebenarnya pada peringkat awal saya
menolak untuk terbabit dengan pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal
Restaging dan saya suarakan perkara ini kepada Hans Isaac selaku penerbit dan
pengarah kerana bimbang emosi akan terganggu.
“Ketika itu saya berputus asa
apabila berhadapan dengan dugaan yang sangat berat. Saya hanya menerima tawaran
berkenaan setelah mendapat titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah,” ujar pelakon berusia 46 tahun itu.
Selain pernah menolak membintangi
pementasan teater berkenaan, Awie mendedahkan dia turut enggan menerima tawaran
bagi membintangi filem Upin Ipin dan Warna Cinta Impian.
Jelasnya, dia bimbang sekiranya tidak
dapat memberikan sepenuh komitmen yang diperlukan, tetapi kata-kata semangat
yang diberikan oleh penerbit kedua-dua filem tersebut telah membuka pintu
hatinya.
“Penerbit filem Warna Cinta Impian
memberitahu, sekiranya saya tidak berlakon, dia enggan menerbitkan filem
berkenaan. Saya akui agak terkejut dan berasa ia merupakan satu penghargaan dan
peluang yang tidak harus dilepaskan.
“Setelah difikirkan semasak-masaknya
saya perlu ada pekerjaan bagi menyara kehidupan anak-anak. Itu yang membuatkan
saya mahu kembali bangkit, biarpun terpaksa berhadapan masalah yang besar,”
tegasnya.
Jelasnya, segala dorongan dan
kata-kata semangat yang diterimanya itu telah memulihkan semangatnya untuk
terus bekerja dan mencari nafkah serta peluang yang diraihnya itu tidak akan
disia-siakan sama sekali.
Utamakan anak
Bercerita tentang kehidupan yang
dilaluinya sekarang ini, Awie menjelaskan, dia kini lebih fokus untuk
membesarkan kelima-lima anaknya iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa
Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh
Antasha, 4.
Ujarnya, dia akan melakukan apa
sahaja demi melihat anak-anaknya itu hidup dalam suasana yang bahagia serta
sama sekali tidak akan berpisah dengan mereka biar apa pun yang terjadi.
“Anak-anak merupakan sumber kekuatan
untuk saya terus menjalani kehidupan ini dan mahu bersama mereka sepanjang
masa. Tanpa mereka, rasanya mungkin saya boleh mati dah hidup seperti sudah
tidak bermakna.
“Selama ini, segala yang saya
lakukan semata-mata mencari harta untuk anak-anak. Kini, saya akan berjuang
habis-habisan dan menuntut kembali hak yang sepatutnya menjadi milik mereka,”
luahnya.
Pada masa sama, Awie enggan mengulas
lanjut berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapi bersama isterinya itu
memandangkan kes yang berlaku sekarang ini masih dalam proses perbicaraan di
mahkamah.
“Saya tidak kisah berkongsi luahan
hati saya ini, asalkan ia tidak menyentuh pihak yang satu lagi. Saya cuma boleh
berkongsi cerita yang membabitkan diri saya dan selebihnya terpulang kepada
penilaian masing-masing apabila kes ini dibicarakan nanti,” ujarnya.
Bimbang
Bercerita lebih lanjut tentang
pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging yang akan berlangsung di
Istana Budaya pada 8 hingga 21 September ini, Awie menyatakan dia berasa teruja
apabila kembali diberi peranan utama.
Bagaimanapun, dia tidak
menyembunyikan rasa bimbangnya untuk pementasan yang kedua ini sekiranya gagal
menampilkan persembahan yang baik seperti pementasan yang pertama dahulu.
“Persiapan kali ini agak lebih mudah
berbanding dahulu dan saya cuba ingat semula cara pementasan yang lepas. Namun
begitu, perasaan berdebar itu tetap ada menjelang hari pementasan.
“Apabila memegang watak sebagai
seorang tokoh yang dikagumi seperti arwah Mokhtar Dahari, perasaan bangga itu
memang ada diri saya. Lagipun, peluang sebegini bukan mudah untuk diperoleh,”
ujarnya.
Sementara itu, Maya Karin yang
membawakan watak sebagai Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim yang juga isteri
Mokhtar ketika ditemui berkata, dia juga pernah menolak untuk berlakon dalam
pementasan teater berkenaan.