TIGA anak seni kesayangan ramai Eman Manan, Noorkhiriah
Shapie dan Shaheizy Sam bergandingan secara tidak sengaja sempena meraikan
sambutan jubli perak penganjuran Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.
Memanfaatkan ruang serta peluang yang bukan mudah untuk
menyatukan bintang berjiwa besar itu, secara santai mereka diajak bersembang.
Bercerita soal populariti dan kualiti yang berlingkar dalam rutin seni
masing-masing, ketiga-tiga mereka saling menyanjung sesama sendiri.
Lebih manis, Eman, Noor dan Sam, mereka itu jatuh dalam
kelompok artis yang bersinar di layar seni lebih awal sebelum popular di mata
ramai.
Ceritakan detik terawal tatkala anda mula dilimpahi populariti?
EMAN MANAN (E): Masa tahun pertama menyambut hari raya
sebagai artis, waktu itu sekitar 1984 masa saya berlakon filem Matinya Seorang
Patriot. Masa awal-awal puasa, bila balik rumah, ada kad raya untuk saya,
setiap hari pasti ada kad raya tapi setakat sekeping atau dua keping, jadi saya
rasa saya tak popular macam artis yang dapat berguni-guni kad raya. Masuk dua
atau tiga hari sebelum raya, saya terkejut besar apabila ada seguni kad raya
depan pintu rumah saya, masa itu baru saya sedar, ini barangkali impaknya
daripada kredibiliti filem itu.
SHAHEIZY SAM (S): Sejak 3 April lalu, selepas menang
Anugerah Bintang Popular tapi saya tetap percaya bahawa saya hanya dikenali
bukan bermaksud semua orang kenal saya.
NOORKHIRIAH (N): Memang saya pernah menang anugerah Pelakon
Komedi Wanita Popular tiga tahun berturut-turut tapi sebelum itu saya tak
pernah rasa bahawa saya ini pelakon popular. Cuma selepas tersiarnya drama
Kerana Cintamu Saerah, saya rasa impak yang besar, dapat buka mata orang, orang
mula tegur saya, saya dapat banyak respons serta lebih murah rezeki selepas
itu.
Bila sudah popular, bagaimana pembawaan diri serta keyakinan
berdepan umum?
S: Saya masih sama seperti Sam yang dikenali sebelum ini.
Sebelum ini pun ramai artis sudah melalui zaman populariti masing-masing, saya
cukup sedar hakikat itu jadi tak selamanya kita akan akan berada di mana kita
berada sekarang. Saya cukup sayangkan penyokong saya jadi saya akan sesuaikan
diri dengan apa sahaja situasi. Bagi saya peminat itu ikhlas jadi saya juga
ikhlas.
N: Tak ada apa yang berubah, selagi orang tegur, pandang dan
berikan senyuman, saya akan buat buat perkara yang sama. Kalaulah ada yang
tidak berkenan tengok saya pun, saya tetap kena terima. Saya seorang yang
simple tapi dalam masa yang sama cepat paranoid, terlalu memikirkan sesuatu
secara lebih-lebih.
Kontroversi paling memuncak barangkali bila?
E: Mungkin semasa pernikahan saya dengan bekas isteri,
Fauziah Ahmad Daud dulu. Ketika itu terlalu banyak hati yang harus dijaga,
hormat perasaan keluarga sementelah Ogy anak orang besar-besar, tapi mujur
media zaman itu belum banyak seperti sekarang. Saya juga tidak ambil pusing
tentang gosip dan majalah. Saya hanya baca surat khabar.
S: Sejak kecil saya hidup dalam dunia saya sendiri, dan
selalu rasa diri saya tidak menarik, jadi tiada apa untuk dihebohkan.
N: Suam-suam sahaja, tak ada yang besar. Kalau ada cerita
panas pun masa awal-awal dululah, zaman pakai skirt pendek dalam majalah
Mangga.
Pernah terasa hilang privasi akibat populariti?
E: Dulu bila sudah popular, saya jadi tidak selesa. Saya
hilang kawan baik dan kawan sekolah sebab masing-masing ada kehidupan berbeza,
saya pula jadi seorang yang eksklusif. Bila fikirkan semua itu, saya mula buka
ruang untuk bergaul dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat kecuali media.
Sebab itu dulu, apa sahaja hebahan tentang saya, banyak tentang kerjaya, bukan
hal peribadi.
S: Paling saya jaga ialah perasaan orang lain, jadi sedaya
upaya saya bercerita tentang kerja sebab bukan semua orang mahu tahu hal
peribadi kita. Kalau kerap sangat baca tentang kisah peribadi artis lain,
terdetik juga, baik simpan sahaja kisah begitu.
N: Tak ada sangat, tak ramai pun orang teruja nak tahu kisah
peribadi saya.
Populariti artis terdahulu dan artis sekarang pula
bagaimana?
E: Dulu acara-acara penganugerahan tidak banyak, tidak
sebesar hari ini. Acara penganugerahan dulu juga lebih ikhlas, tiada
penyelewengan, artis juga tidak perlu melobi diri sendiri untuk menang.
S: Saya lebih pandang tinggi usaha artis terdahulu, mereka lebih
patut dipuji. Orang dulu popular kerana hasil kerja dan ketika itu mereka tidak
terdesak pun untuk popular. Saya sendiri lebih baik tidak popular jika tiada
hasil kerja yang berkualiti.
Pentingkah populariti itu?
E: Kalau populariti itu hanya kerana kisah peribadi, saya
jadi kasihan.
S: Kerja yang baik akan mendatangkan dan mengekalkan
populariti.
N: Bila popular, rezeki seseorang itu lebih lebat, makin
banyak tawaran. Tapi saya bersyukur sangat, walaupun bukan artis ‘panas’ saya
diterima baik oleh media. Popular memang boleh tambah rezeki jadi murah, tapi
rezeki itu daripada Allah.
Nilai sentimental di sebalik sebuah trofi?
E: Ada orang kata, dapat anugerah bukan dapat duit, tapi
trofi itu mustahak. Momen diberi dan menerima trofi itu seolah-olah, ‘inilah
detiknya’. Tapi trofi itu menjadi lebih berharga jika sehabisnya sesebuah pesta
penganugerahan tidak berlaku apa-apa kekecohan.
S: Trofi hanya penghargaan diberikan tanda kenangan tetapi
tidak menjanjikan saya untuk kekal dalam liga terbaik atau popular.
N: Trofi itu pengiktirafan, bernilai tapi suami dan
anak-anak lebih bernilai rasanya buat saya. Trofi itu bukti saya kepada
keluarga bahawa saya pernah dihargai dalam kerja lakonan ini. Ada lima trofi
dalam almari saya, tapi ia tidak menjanjikan apa-apa, terutama dalam bab bayaran
berlakon.
Jangka hayat dalam bidang lakonan?
E: Saya tiada jawapan untuk soalan itu, tapi kalau seseorang
itu pemimpin yang hebat, dia sendiri tahu di mana titik ‘matinya’, tahu waktu
harus undur. Pengertian heroism di Malaysia tidak sama dengan pengertian
heroism di Barat.
S: Saya setuju dengan pegangan abang Eman. Bagi saya
berundur tidak bermaksud hilang daripada dunia seni itu, mungkin harus beralih
ke perjuangan lain, sebab, di mana kita berhenti, di situlah orang akan
mengingati kita.
N: Soal hayat dalam industri, rasanya sudah tinggal tak
berapa lama lagi. Saya sudah ada sasaran lagipun saya sudah berhijrah begini
(bertudung), kalau rezeki lakonan bukan untuk saya lagi, saya reda. Sebenarnya
saya rindu hendak berteater, cuma masa dan peluang belum ada.
No comments:
Post a Comment