BELUM habis lagi orang bercerita mengenai Festival Filem
Malaysia ke-24 (FFM24). Paling terbaru, cerita berbaur kritikan itu bukan lagi
datang daripada karyawan seni atau media, tetapi tetamu kehormat yang turut
menghadiri malam kemuncak itu.
Antara komen mereka, dewan yang boleh muat lebih 2,000 orang
kelihatan lompong, artis pun tak ramai datang dan itu belum termasuk karyawan
seni yang merajuk.
Menurut sumber CAK, apabila ditanya kad jemputan, penganjur
kata dah habis. Bila dengar kata kad dah habis, legalah hati kerana ia
menandakan dewan akan penuh dan setiap pengumuman kemenangan akan disambut
dengan sorakan yang pasti menggegarkan suasana.
Rupa-rupanya sedih! Dengarnya, ramai yang sepatutnya masuk
ke Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu tak dapat masuk
sebab dihalang oleh anggota Rela yang bertugas pada malam itu.
Apabila majlis dah nak mula dan dewan masih kosong, barulah
mereka benarkan orang yang berlonggok-longgok tunggu di luar itu masuk. Entah
sapa-sapa, yang berselipar pun diizinkan masuk. Rela ini dapat arahan dari
siapalah agaknya.
Rungut tetamu kehormat itu lagi, di kerusi yang dikhaskan
untuk artis pun bercampur aduk dengan tetamu jemputan lain. Kalau ada yang
bertepuk tangan apabila pemenang diumumkan hanya daripada penyokong mereka.
Bila mana filem Hikayat Merong Mahawangsa menang Filem
Terbaik, ‘geng’ itulah yang bertepuk tangan, yang lain seperti menunggu masa
nak balik. Kata mereka nampak sangat seperti karyawan seni tidak bersatu hati.
CAK juga diberitahu, mereka ‘kurang’ berminat dengan
persembahan terlalu ‘rock’ dan ‘kurang’ berkenan dengan gaya pengacara malam
itu.
Kalau dah tetamu kehormat bersuara, CAK teringin juga nak
tahu, adakah Gafim masih diberi peluang untuk menganjurkan FFM25? Ada juga yang
berbisik ke telinga CAK, suruh Finas ambil alih penganjuran. Opps!!! CAK
melaporkan saja.
No comments:
Post a Comment