MARANG: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun
berhijrah dan merubah diri menjadi insan lebih baik dengan memasuki sekolah
pemulihan akhlak di sini bertukar tragedi, selepas dia menjadi mangsa penderaan
seksual dan buli lima pelajar senior di sekolah berkenaan, petang Khamis lalu.
Kejadian malang itu menimpa mangsa yang hanya dikenali
sebagai, Mira, 14, dari Klang, Selangor, dan mendakwa diperlakukan sedemikian
oleh lima rakan sebiliknya.
Dalam pertemuan dengan Berita Harian semalam, Mira mendakwa
dia didera secara seksual kira-kira setengah jam di dalam asrama sekolah itu,
selepas berlaku pertengkaran dengan pelajar senior berusia 14 hingga 17 tahun
di dalam bilik mandi kira-kira jam 3 petang.
Katanya, dia yang masuk ke sekolah pemulihan akhlak wanita
atas inisiatif sendiri pada September lalu, dipanggil oleh kumpulan pelajar
berkenaan ke bilik mandi untuk membantunya mencuci rambut, tetapi ketika itu
dia membantah tindakan mereka yang meraba-raba belakangnya.
Namun, dia sekali lagi diganggu pelajar berusia 17 tahun
ketika bersiap di bilik untuk menyertai satu program sekolah, tetapi cubaannya
melawan ketika itu dibalas dengan tindakan agresif apabila ditolak ke dinding
dan kemudian direbahkan di katil.
“Saya menempuh azab kira-kira setengah jam apabila mereka
memperlakukan saya seperti binatang,” katanya yang mendakwa perlakuan tidak
bermoral itu terhenti selepas seorang pelajar mengetuk pintu bilik memintanya
segera ke program berkenaan.
Dalam keadaan kesakitan, lemah serta menangis, Mira berkata,
dia pergi ke tingkat bawah sebelum terserempak dengan seorang pelajar senior
berusia 19 tahun yang juga rakan baiknya, sebelum menceritakan kejadian itu
selepas didesak.
“Selepas memberitahu warden mengenai kejadian itu, saya
disuruh berehat sementara menunggu warden menyoal siasat lima pelajar terbabit.
Mereka akhirnya mengaku selepas didesak. Saya dihantar pihak sekolah
mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu
kira-kira jam 10 malam,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai
Nur, 34, berkata dia terkilan kerana pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian
yang menimpa anaknya Mira, sebaliknya hanya mengetahui kejadian sebenar
daripada Mira.
“Saya terima panggilan polis kira-kira jam 2.15 pagi semalam
(Jumaat) memaklumkan Mira dimasukkan ke HSNZ, selepas menjadi mangsa buli,”
katanya yang datang dari Klang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi
Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan
kejadian dan siasatan sedang dijalankan, justeru, tidak dapat mengulas lanjut.
No comments:
Post a Comment