DENGAR khabar seorang pelakon wanita ini semakin menunjukkan
belang terutama sekali pada media. SS terkejut juga sebab secara luarannya,
pelakon baru ini tidak mungkin melayan media seperti itu apatah lagi dia masih
hijau dalam industri ini jika dibandingkan dengan teman SS itu.
Menurut teman SS, dia sudah beberapa kali ingin menemu bual
dan melakukan sesi fotografi dengan pelakon yang semakin meningkat naik ini,
namun selalu gagal. Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan juga tidak
berbalas, inikan pula panggilan telefon.
Kalau sekali dua mungkin teman SS ini tidak membangkitkan
perkara ini, tetapi kejadian ini sudah berlaku beberapa kali menyebabkan dia
melenting.
Malah, SS ada dengar artis ini memilih bulu, hanya melayan
media cetak dan elektronik yang popular saja. Cerita rakan SS, kalau dulu
sebelum dikenali ramai, tidak susah seperti sekarang.
Dia sangat disenangi kerana sikapnya yang ramah dan sering
meluangkan masa untuk ditemu bual walaupun dalam keadaan penat ketika di lokasi
penggambaran. Pelakon berambut panjang ini akan menjawab soalan media dengan
cukup matang.
Kata orang, kalau tidak sudi, terus terang saja, tidaklah
orang berharap dan boleh cari artis lain. Sebabnya, SS rasa ramai lagi artis
lain yang begitu menghargai usaha teman SS.
SS pun tidak tahu apalagi yang perlu dilakukan untuk
berhadapan dengan artis baru seperti si cantik manis ini. Mungkin juga dia
terlalu sibuk dengan penggambaran memandangkan rezekinya semakin murah.
Cuma SS hendak beri ingatan. Masa ini artis itu tidak rasa
perlukan publisiti kerana ramai pihak mengejarnya tapi jangan pula nanti apabila
tawaran sudah kurang, masa itulah baru hendak terhegeh-hegeh datang jumpa
wartawan menagih publisiti.
No comments:
Post a Comment