Berwajah unik, muda, seksi, sasa dan mampu berkomunikasi
dalam pelbagai bahasa, itulah kelebihan pekerja pantai khususnya golongan
lelaki sekitar pulau ini hinggakan ada pelancong wanita yang cair dengan
penampilan mereka.
Digelar beach boy atau budak pantai, kehadiran golongan itu
nyata menjadi daya penarik kepada pelancong asing terutama wanita namun ada
kalanya kurang disenangi penduduk setempat yang melihat ia ancaman kepada
budaya dan sosio ekonomi masyarakat di situ.
Seorang budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Aju,
20, berkata sejak tiga tahun terbabit dalam aktiviti pelancongan di pulau itu,
sudah dua wanita meminta dia menjadi teman di bilik tidur mereka dan kedua-duanya
pelancong asing.
“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rakan mengenai
perkara itu namun selepas ia benar-benar berlaku depan mata, saya tidak dapat
menolak, tambahan pula mereka yang meminta saya ke bilik.
“Apapun perkara itu sebenarnya berlaku kerana saya berada
dalam keadaan antara sedar atau tidak kerana pengaruh alkohol, kami sebenarnya
bertemu kali kedua di sebuah restoran yang menyediakan minuman keras. “Ia
bukannya pesta atau majlis tertentu sebaliknya restoran biasa yang tiba-tiba
menjadi seakan pesta apabila semakin ramai pengunjung tiba,” katanya.
Ditanya mengapa dia mengunjungi restoran berkenaan, Aju
berkata, dia hanya menemani pelanggan sebelum diajak minum bersama malah
restoran itu sememangnya menjadi pilihan pelancong dari luar negara.
“Ia adalah tuntutan kerja dan pada masa sama ia memberi
ruang untuk golongan seperti saya bergaul dengan masyarakat luar khususnya
pelancong asing,” katanya.
Seorang lagi budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai
Din Lanun, 24, berkata kebanyakan pelancong yang sudi menjadi teman mereka
biasanya mempunyai sebab atau agenda tersendiri kerana golongan itu biasanya
membabitkan pelancong bajet atau backpacker.
“Mereka biasanya ingin tinggal lebih lama dan untuk
menjimatkan wang, mereka sanggup bermalam di rumah atau hotel bersama budak
pantai yang kebanyakannya akan membiayai sewa hotel dan makan minum sepanjang
mereka menginap.
“Biasalah jika mereka memberikan sesuatu mestilah mereka
hendakkan sesuatu, bak kata orang situasi menang-menang,” katanya.
Sementara itu, orang lama yang pernah bertugas sebagai budak
pantai di situ yang mahu dikenali Lan Tatu, 40-an, berkata amalan gaya hidup
Barat dalam kalangan budak pantai tidak sehebat zamannya kerana pelbagai agensi
kini memantau aktiviti golongan itu.
“Dulu aksi ghairah pasangan boleh dilihat di mana-mana
termasuklah di bandar Tioman, iaitu Kampung Tekek, selain pelbagai pesta tari
di tepi pantai namun kini aktiviti itu tidak lagi wujud di sini kerana ada
agensi yang memantau.
“Memang masih ada pesta tari menari dengan minuman
memabukkan terutama ketika musim kehadiran pelancong ramai (Mac-Ogos) tetapi ia
diadakan di kawasan terpencil terutama di Salang (kampung).
“Kebanyakan budak kita hanyut kerana kedudukan kampung itu
yang agak terlindung selain harga minuman keras yang murah berikutan status
pulau sebagai pulau bebas cukai,” katanya.
Sementara itu, seorang pelancong, Deborah Ghinjo, 25,
berkata tidak semua pelancong asing mengambil kesempatan dengan mencari teman
semata-mata untuk menetap di sesuatu tempat secara percuma atau murah.
“Ia sebenarnya atas kehendak sendiri kerana ada kalanya
seseorang itu akan tertarik dengan cara hidup atau penampilan seseorang yang
jarang dilihat di tempat asalnya di Barat, adalah perkara biasa apabila
perkenalan antara lelaki perempuan dibawa ke bilik tidur. “Itupun berlaku atas
dasar suka sama suka dan bukannya atas kehendak satu pihak saja, apapun saya
faham adat dan budaya hidup masyarakat sesebuah negara berbeza dan sebagai
pelancong kita cuba memahami sebanyak mungkin perkara itu untuk mengelak
kesulitan di masa depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment