Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap
isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap
kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan
tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih
bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai
penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan
dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya
dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan
suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri
akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki
meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak tahu bertegur sapa dengan anda
sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami
kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah
suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita
tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku
seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila
dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk.
Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai
keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat
menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya
itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta
simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera
dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari
yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat
bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya
supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan
isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah
tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut
selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api,
janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila
seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk
lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk
tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya
hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian
itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan
tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua
suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus
isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket
baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu
sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan
tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,
dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya
suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan
letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri
kecualilah jika suami kita meredhainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak
kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu.
Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin
wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah
menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak
dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu
tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya
tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika
suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan
berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan
isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan
salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan
sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah
minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam
termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih
ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga
dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak
mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan
memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan
bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan
syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah
berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai
oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak,
peribadi dan ibadahnya.
No comments:
Post a Comment