SLIM RIVER: Ketika ramai memilih 11.11.11 sebagai hari
istimewa semalam, 36 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Air Merah, Kulim, Kedah, sebaliknya melalui tragedi mengerikan apabila bas
rombongan yang dinaiki terbalik, sebelum dirempuh sebuah treler ketika
kebanyakan mangsa merangkak untuk menyelamatkan diri, menyebabkan empat orang
terkorban.
Dalam kemalangan jam 4.30 pagi di Kilometer 382, Lebuh Raya
Utara-Selatan, dekat sini, dua rakan mereka Khairul Anwar Azhan dan Maysarra
Zaidi, masing-masing 15 tahun, mati di tempat kejadian dengan mayat Maysarra
dikesan hampir tujuh jam kemudian dalam longkang di bawah timbunan pasir dari
treler yang jatuh bertaburan. Pelajar yang memperoleh 8A ujian percubaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu pada mulanya dilaporkan hilang selepas
usaha mengesannya di lokasi kejadian dan hospital sebelum itu gagal.
Guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, dari Kota Sarang Semut,
Kedah pula meninggal dunia di Hospital Slim River (HSR) dengan sebelah kakinya
putus dan ditemui berdekatan mayat Maysarra.
Seorang lagi yang meninggal dunia ialah Ketua Wanita UMNO
Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45 yang dirempuh ketika membantu
menyelamatkan pelajar keluar daripada bas berkenaan.
Dia menaiki bas lain bersama rombongan Wanita UMNO Kedah
yang dalam perjalanan menghadiri program parti di Tanjung Karang, Selangor, dan
berhenti di tempat kejadian atas permintaannya sendiri untuk membantu mangsa.
Kemalangan juga menyebabkan guru mereka, Rosilawati Mat
Rifin, 40, dan Azriahani Ahmad, 31 tahun cedera parah. Empat pelajar, Abdul
Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad
Shariffuddin, semuanya berusia 15 tahun dan anak Azriahani, Idzmi Haikal
Khairul Shah, 5 yang mengikut ibunya juga parah.
Selain itu, 22 lagi pelajar dan seorang guru cedera ringan.
Semua yang cedera ringan dan cedera parah dirawat di HSR dan Hospital Teluk
Intan (HTI). Mereka adalah antara 60 pelajar dan tujuh guru SMK Air Merah yang
menyertai rombongan menaiki dua bas, tetapi satu lagi tidak terbabit dalam
kemalangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md
Tahir Kassim, berkata mangsa yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke
Kuala Lumpur dan Genting Highlands itu, menaiki bas persiaran itu di Kulim pada
jam 11.30 malam kelmarin, menuju ke ibu negara.
“Siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 25 tahun
itu terbabas ke kiri jalan lalu terbalik dalam posisi mengiring. Dalam keadaan
kelam kabut pelajar dan guru menyelamatkan diri, treler membawa muatan pasir
yang datang dari belakang melanggar bas berkenaan.
“Kita sudah menahan pemandu bas dan pemandu treler untuk
siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
No comments:
Post a Comment