KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2011: "Saya menerima
keputusan juri AIM18 ini dengan hati terbuka, kerana perkara ini merupakan
sesuatu yang besar dan harus diperbaiki demi menjaga nama semua pihak. Semasa
saya menangpun saya sendiri keliru namun menerimanya dengan hati terbuka juga
setelah menerima penjelasan daripada pihak penganjur AIM18.
"Kini setelah mereka memberitahu berlaku kesilapan dan
harus diperbetulkan, bagi saya itu merupakan satu perkara yang sewajarnya
dilakukan," kata Yuna mengulas mengenai keputusan menarik balik kemenangan
lagu Penakut ciptaan dan nyanyiannya sebagai Lagu Terbaik, Anugerah Industri
Muzik Ke-18 (AIM 18) yang lalu.
Ditanya kepadanya mungkinkah penarikan semula kemenangannya
itu dibuat setelah berlaku pertikaian mengenai kemenangannya yang diperkatakan
kerana dia masih baru dan boleh diperlekehkan? Yuna bagaimanapun menafikan
perkara tersebut.
"Saya tidak boleh cakap kerana saya baru maka isu
kemenangan saya dipertikaikan. Malah mereka juga boleh menarik semula kerana
saya masih baru dalam industri ini. Itu semua tak masuk akal. Semua yang
berlaku ada hikmahnya dan saya menerima dengan redha. Cuma saya harap selepas
ini kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi kerana ia melibatkan banyak
pihak,"jelasnya.
Tidak serik untuk bertanding lagi di AIM, bagi Yuna kejadian
tersebut membuka mata semua yang terlibat dan merupakan satu pengajaran
berguna.
"Sebagai seorang pemuzik, saya tidak seharusnya serik.
Saya juga tidak terasa dengan apa yang berlaku. Apa yang penting, saya akan terus
berkarya untuk mengangkat muzik saya ke mata dunia,"ucapnya lagi.
Meskipun kemenangan ditarik balik, namun Yuna bersyukur dan
gembira kerana lagu Penakut mendapat markah tertinggi bagi set penjurian Lagu
Terbaik.
"Apabila untuk kategori Lagu Terbaik mereka meletakkan
lagu Penakut dengan 20 buah lagu lain dan mendapat markah tertinggi, itu sudah
menggembirakan saya. Sekurang-kurangnya dalam set penjurian itu saya dipilih
sebagai yang terbaik. Apa pun yang berlaku tidak akan nmematahkan semangat
saya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment