KEJAYAAN filem atau drama suatu yang subjektif untuk
diperjelas. Ada yang kata, gandingan pelakon popular menjadi strategi terbaik
untuk pancing penonton. Begitu juga cerita dan skrip yang mantap perlu
diutamakan agar sesebuah karya itu menghiburkan.
Apa yang SS ingin sampaikan bukan mahu mengkritik cerita
mana bagus atau tidak. Sebaliknya, SS ingin berkongsi ragam tiga karyawan seni
yang terbabit dalam satu acara hiburan baru-baru ini.
Tidak perlulah SS sebutkan nama mereka, cukup sekadar
memberi bayangan mereka ini pernah bekerjasama dalam satu filem. Memang diikutkan,
gandingan tiga individu ini penting dalam mempromosi filem mereka pada
penonton. Masing-masing sama ada pengarah dan pelakon memainkan peranan penting
dalam menjalankan tanggungjawab.
Apa yang berlaku sebenarnya mungkin suatu yang tidak
dirancang. Pada acara hiburan berkenaan, mereka hadir bersama dalam menyatakan
sokongan untuk acara itu.
Namun, apa yang membuatkan SS dan rakan media lain pelik
apabila mereka tidak berjalan seiringan ketika acara itu berlangsung. Dalam
erti kata lain, masing-masing buat hal sendiri seolah-olah hubungan terjalin
dalam satu projek filem sebelum ini seperti tidak wujud.
SS percaya, khalayak yang berada di lokasi acara itu juga
hairan melihat ragam artis terbabit. Persoalan yang bermain di fikiran, mengapa
insiden seperti ini boleh berlaku?
Apakah wujud perselisihan faham atau mereka tersinggung
akibat filem tak laku atau dikritik hebat sehingga tak sanggup jalan bersama.
Apapun alasannya, insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi
depan orang ramai.
SS tidak berniat cari gaduh dengan sesiapa. Cuma, SS
harapkan insiden ini dapat dijadikan iktibar pada semua karyawan seni agar
lebih bersikap profesional khusus membabitkan acara hiburan. Promosi sebegini
penting agar ia meninggalkan kenangan manis pada peminat terus berikan
sokongan.
No comments:
Post a Comment