Anak gadis di 20
kampung dan tamah perumahan Ketari, Bentong dinasihat tidak berjalan
bersendirian terutama pada waktu malam bagi mengelak menjadi mangsa ‘lembaga
hitam’ yang dibimbangi penduduk sejak dua minggu lalu kerana ia adalah seorang
penjenayah pecah rumah dan perogol.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi
Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, meminta penduduk meningkatkan rondaan
malam di kawasan kejiranan masing-masing dan membersihkan semak-samun yang
berpotensi menjadi tempat persembunyian penjenayah.
Mohamad Mansor berkata, pihaknya sedang mengenal pasti
beberapa suspek selepas memperincikan siasatan sebelum mengambil tindakan
lanjut.
“Jangan percaya khabar angin mengenai lembaga hitam, kita
sedang menjuruskan siasatan untuk mendapatkan bukti untuk bertindak,” katanya
ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau mengulas kebimbangan penduduk dalam kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Ketari mengenai lembaga hitam seakan orang minyak
bertubuh kecil dipercayai mengamalkan ilmu hitam yang mengganggu gadis bawah
umur selain memecah masuk rumah.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, juga
meminta penduduk di situ mendapatkan laporan lebih tepat daripada pihak
berkuasa berhubung perkara itu bagi mengelak masyarakat terpengaruh dengan
berita yang belum diketahui kesahihannya.
Beliau menasihatkan mereka supaya meningkatkan semangat
kejiranan dan mengambil langkah keselamatan termasuk memasang lampu untuk menerangkan
persekitaran rumah.
“Bagi masyarakat Islam pula, lebih baik adakan solat hajat
dan perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir bagi mengelak perkara tidak baik
berlaku di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
ADUN Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye pula meminta penduduk
kampung lebih berwaspada serta meningkatkan rondaan di sekitar kawasan
masing-masing.
“Pihak polis juga turut membuat rondaan dan kita harap
penduduk dapat bekerjasama dengan polis untuk memastikan keharmonian kawasan
masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment