JIKA isteri suka ambil tahu urusan suaminya di pejabat, SS
memang sudah biasa dengar. Maklumlah, sudah menjadi lumrah wanita yang memang
tidak dapat lari daripada sifat cemburu dalam dirinya. Apatah lagi, jika
bersuamikan lelaki kacak dan berkedudukan tinggi yang menjadi buruan ramai
wanita.
Bagaimana pula jika ia berlaku sebaliknya di mana si suami
pula yang suka menyibuk hingga mengganggu kerja isterinya?
Inilah cerita yang SS dengar membabitkan penerbit terkenal
tanah air ini.
Dengar ceritanya, ramai pelakon yang cabut lari kerana
bergaduh dengan penerbit wanita dan suaminya itu. Semuanya kerana barisan
pelakon utama satu projek produksinya tidak puas hati dan bengang dengan sikap
suami penerbit itu yang suka campur tangan dengan kerja isterinya.
Siapa yang tidak marah bila si isteri hanya mengikut
telunjuk suaminya saja sedangkan apa yang dilakukan suami tidak betul dan
menyusahkan orang lain termasuk pelakon dan pengarah yang bekerjasama dalam
produksinya.
Bukan saja campur tangan dalam hal bayaran dan syarat yang
ditetapkan pada pelakon, malah, siap ambil alih kerusi pengarah membabitkan
salah satu karya terbitan produksi isterinya, baru-baru ini apabila dia tidak
percaya dengan pe–ngarah sedia ada yang dipilih isterinya.
Apa sudah jadi dengan kredibiliti penerbit teater itu? Sudah
tiada hak bersuara lagi ke atau dirinya sudah dikaburi wang ringgit yang
ditabur suaminya? Setahu SS, produser wanita ini seorang yang cukup lantang
bersuara dalam segala hal. Kalau ada perkara yang dia tidak puas hati pasti dia
sudah bersuara untuk mempertahankan kebenarannya.
Bukanlah suami tidak perlu ambil tahu langsung kerana dia
adalah sumber kewangan pada produksi si isteri. Tapi bukanlah semua perkara dia
perlu ambil tahu hingga mengganggu kerja produksi pula.
Bayangkan jika semua pelakon bengang dan cabut lari,
siapalah yang ingin bekerja dengan produksi isterinya lagi? SS bimbang, jika
masalah ini tidak diatasi tiada siapa yang hendak bekerjasama dengan
produksinya lagi kelak.
Akhirnya, produksinya pun terpaksa gulung tikar dan
hilanglah satu produksi yang memartabatkan bidang teater di negara ini.
No comments:
Post a Comment