Thursday, November 10, 2011

ARTIS MALAYSIA JAGA TEPI KAIN ORANG


JIKA isteri suka ambil tahu urusan suaminya di pejabat, SS memang sudah biasa dengar. Maklumlah, sudah menjadi lumrah wanita yang memang tidak dapat lari daripada sifat cemburu dalam dirinya. Apatah lagi, jika bersuamikan lelaki kacak dan berkedudukan tinggi yang menjadi buruan ramai wanita.

Bagaimana pula jika ia berlaku sebaliknya di mana si suami pula yang suka menyibuk hingga mengganggu kerja isterinya?
Inilah cerita yang SS dengar membabitkan penerbit terkenal tanah air ini.

Dengar ceritanya, ramai pelakon yang cabut lari kerana bergaduh dengan penerbit wanita dan suaminya itu. Semuanya kerana barisan pelakon utama satu projek produksinya tidak puas hati dan bengang dengan sikap suami penerbit itu yang suka campur tangan dengan kerja isterinya.



Siapa yang tidak marah bila si isteri hanya mengikut telunjuk suaminya saja sedangkan apa yang dilakukan suami tidak betul dan menyusahkan orang lain termasuk pelakon dan pengarah yang bekerjasama dalam produksinya.


Bukan saja campur tangan dalam hal bayaran dan syarat yang ditetapkan pada pelakon, malah, siap ambil alih kerusi pengarah membabitkan salah satu karya terbitan produksi isterinya, baru-baru ini apabila dia tidak percaya dengan pe–ngarah sedia ada yang dipilih isterinya.

Apa sudah jadi dengan kredibiliti penerbit teater itu? Sudah tiada hak bersuara lagi ke atau dirinya sudah dikaburi wang ringgit yang ditabur suaminya? Setahu SS, produser wanita ini seorang yang cukup lantang bersuara dalam segala hal. Kalau ada perkara yang dia tidak puas hati pasti dia sudah bersuara untuk mempertahankan kebenarannya.

Bukanlah suami tidak perlu ambil tahu langsung kerana dia adalah sumber kewangan pada produksi si isteri. Tapi bukanlah semua perkara dia perlu ambil tahu hingga mengganggu kerja produksi pula.

Bayangkan jika semua pelakon bengang dan cabut lari, siapalah yang ingin bekerja dengan produksi isterinya lagi? SS bimbang, jika masalah ini tidak diatasi tiada siapa yang hendak bekerjasama dengan produksinya lagi kelak.

Akhirnya, produksinya pun terpaksa gulung tikar dan hilanglah satu produksi yang memartabatkan bidang teater di negara ini.

No comments:

Post a Comment