LEDANG: “Saya sangka saya berkhayal atau ia hanya suara
kucing apabila terdengar sayup suara menangis, namun terkejut apabila menemui
seorang bayi di dalam parit,” kata penoreh getah, Mohd Shuib Md Dasin, 53,
ketika ditemui di Kampung Melayu Raya, Sagil, di sini, semalam.
Shuib mengimbau kembali penemuan bayi perempuan berkenaan
ketika dia menoreh getah di kebunnya yang terletak bersebelahan ladang kelapa
sawit, jam 9 pagi semalam.
Menurut Shuib, dia terdengar suara seakan-akan bunyi
menangis tanpa henti lantas mendorongnya untuk menyiasat.
“Saya mencari dari mana suara itu datang dan selepas
beberapa minit, bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam parit
yang tidak berair dan kelihatan letih kerana menangis tanpa henti.
“Saya bergegas memanggil isteri dan kemudian membalut bayi
itu dengan kain untuk mengelakkannya kesejukan sebelum memaklumkan penemuan
kepada penduduk kampung supaya menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi
Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak ketika dihubungi berkata, anggota di
Balai Polis Sagil menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan
penemuan bayi itu.
“Kami bergegas ke sana sejurus kemudian dan mendapati bayi
berkenaan dalam keadaan sihat. Bayi itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh
kurang 24 jam sebelum ditinggalkan di kebun getah.
“Bayi itu dihantar ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan
sebelum ditempatkan di wad bagi pemerhatian lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment