Tuesday, November 29, 2011

KESILAPAN YANG MEMALUKAN ANUAR ZAIN : AIM 18



KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2011: Akibat kesilapan teknikal, penganjur Anugerah Industri Muzik Ke 18 (AIM 18) telah pun menarik balik trofi kemenangan Yuna menerusi kategori Lagu Terbaik dan diberikan kepada Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.

Meskipun mendapat markah tinggi dalam set penjurian untuk kategori Lagu Terbaik, namun Yuna tidak menepati kriteria yang ditetapkan penganjur kerana telah pun tewas dalam kategori Lagu Pop Terbaik.

Anugerah tersebut sebaliknya diserahkan kepada penyanyi dan pencipta lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim sebagai pemenang yang layak, juga berdasarkan kemenangan bagi kategori Lagu Pop Terbaik.

Menganggap perkara yang berlaku sebagai sesuatu yang sangat memalukan dirinya, Anuar Zain berharap selepas ini kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi.

"Saya akui perkara ini sesuatu yang pelik dan memalukan saya. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana lagi. Saya sendiri berfikir, bagaimana mahu berdepan dengan Yuna, diri sendiri dan orang ramai bila diberi tahu dengan berita ini. Kerana dalam hal ini, kami berdua menjadi mangsa keadaan.

"Bagi saya kalau perkara ini hanya diam-diam sahaja pun tidak mengapa dan anugerah ini tidak perlu diberikan semula kepada saya dan Edry. Berat untuk saya menerima perkara ini, kerana saya juga memahami perasaan Yuna dan menghormati dirinya.

"Namun kerana menghormati pihak penganjur yang mengakui kesilapan mereka lalu, jadi saya menerimanya," katanya ketika ditemui ketika majlis sidang media bagi membetulkan keputusan Lagu Terbaik AIM18, di sini petang tadi.

Mengharapkan apa yang berlaku tidak akan berulang lagi, kata Anuar Zain, perkara tersebut pastinya mencatatkan sebuah sejarah tersendiri bagi majlis anugerah yang diiktiraf ramai itu.

"Perkara ini satu sejarah buat AIM dan akan dikenang untuk selama-lamanya. Saya sendiri tercatat dalam sejarah ini dan saya juga tidak mahu ia berlaku.

"Saya juga mahu menegaskan di sini, baik saya mahupun Edry, kami sama sekali tidak pernah berjumpa sesiapa untuk mempertikaikan mengenai isu tersebut," katanya

Tidak mengerti mengapa set penjurian dibahagikan kepada dua, jelas pelantun lagu Lelaki Ini, seharusnya pihak penganjur selepas ini hanya menyediakan satu set penjurian sahaja.

"Saya rasa tidak perlulah hendak dibuat kepada dua set penjurian kerana khuatir keputusan pemenang diketahui juri. Ambil saja juri yang diyakini dan lakukan prosedur yang sewajarnya.

"Mungkin mereka perlu menandatangani surat perjanjian dan sebagainya untuk tidak membocorkan rahsia. Jadi dari situ, apabila pemenang bagi setiap kategori muzik telah diketahui mereka hanya perlu mengadili lagu-lagu daripada pemenang kategori tersebut untuk memilih Lagu Terbaik," katanya menyuarakan pendapatnya.

No comments:

Post a Comment