SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Friday, August 5, 2011

TIMBALAN PENGARAH MATI DIBUNUH


Kebimbangan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, menjadi kenyataan apabila ditemui mati dengan tangan dan kaki berikat sebelum mayatnya dibalut tilam dan ditinggalkan di atas tangga di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Mangsa yang dipercayai mati dicekik sebelum itu, memberitahu ibunya, Sharifah Razali, 72, bahawa beliau bimbang kerana rumahnya diceroboh seminggu sebelum puasa dan kehilangan barangan kemas bernilai RM15,000, ketika pulang ke kampung 1 Ramadan lalu.
Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki, dua daripadanya berusia 26 tahun termasuk seorang jiran mangsa ditahan di sekitar Tambun setengah jam selepas penemuan mayat manakala seorang lagi berusia 21 tahun di Tanjung Rambutan kira-kira jam 4.20 petang. Polis masih memburu dua lelaki lagi dipercayai turut terbabit.

Dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba mengusung mayat mangsa yang masih bujang dan tinggal berseorangan untuk dilupuskan manakala suspek lain menunggu di dalam kereta Kancil di luar pangsapuri itu.

Bagaimanapun, mayat mangsa yang dalam keadaan kaki terjulur keluar dari balutan tilam ditinggalkan di atas tangga selepas suspek terserempak dengan pengawal keselamatan yang membuat rondaan kira-kira jam 4 pagi.

Mangsa anak ketujuh daripada 10 beradik baru dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang pada 1 Julai lalu, sebelum ini, bertugas sebagai Pendaftar Kolej Pertanian di Sintok, Kedah.

Sementara itu, Sharifah yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berkata anaknya yang baru menyewa di pangsapuri itu sebulan lalu meluahkan kebimbangan ketika pulang ke kampung di Parit Haji Ali di Bagan Serai, pada hari pertama Ramadan.
“Arwah memberitahu rumah sewanya diceroboh seminggu sebelum puasa dan mengadu tertekan dengan bebanan kerja termasuk apabila ada yang menyerbu ke pejabatnya berkaitan isu penyembelihan lembu bunting.

“Memang mak cik nak jenguknya, maklumlah dia tinggal seorang diri dan menghidap migrain,” katanya.

Kakak mangsa, Ruzaina, 41, berkata, kehilangan mangsa amat dirasai terutama menjelang Aidilfitri kerana arwah ‘bermulut riuh’ dan menceriakan suasana setiap kali mereka berkumpul.

Jiran mangsa, Azlina Abd Talib, 33, berkata, beliau yang bangun untuk bersahur jam 4 pagi mendengar bunyi bising di luar rumah apabila seorang pengawal keselamatan memberitahu ada mayat di atas tangga depan rumahnya dan melihat seorang jiran lelaki di tingkat atas rumahnya dalam keadaan bergari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal polis mengesyaki terdapat unsur jenayah dan masih menyiasat kes itu.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan A Nirmala di 05-2531500. Sumber polis memaklumkan laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat sesak nafas.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tinggi di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, jam 5.30 petang semalam.

Selain bapa mangsa, Kasim Idris, 75, yang terpaksa dipapah untuk menyaksikan pengebumian, turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam menziarahi keluarga mangsa di bilik mayat HRPB jam 11.30 pagi.

Zambry mewakili kerajaan negeri memberi sumbangan RM8,000 kepada keluarga mangsa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails