SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Sunday, August 21, 2011

AGUERO VS MARADONA



Roberto Mancini mengaku rambang mata untuk memilih penyerang ketika berura-ura mempertaruhkan Sergio Aguero sebagai antara empat penyerang utama Manchester City pada pertemuan menentang Bolton Wanderers, malam ini.

Pada kemunculan sulung bersama Manchester City, Aguero cemerlang menjaringkan dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua bagi membantu mereka menewaskan Swansea, 4-0, Isnin lalu.


Kini penyerang baru bernilai £35 juta (RM171.8 juta) yang didakwa belum cergas sepenuhnya dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Bolton.

Penyerang Argentina itu mungkin beraksi di samping Edin Dzeko, Mario Balotelli dan David Silva di Stadium Reebok.


Mancini mengaku masalah memilih penyerang boleh selesai jika keempat-empat pemain diturunkan serentak.


“Kami akan menyerang secara agresif. Namun, tanggapan umum jika turunkan empat penyerang, lebih banyak serangan dilakukan ada kalanya tidak benar.

“Paling penting adalah keseimbangan dan itulah yang perlu difikirkan untuk perlawanan ini.


“Bagaimanapun, penyerang juga perlu membantu pasukan bertahan. Jika penyerang malas, ia pasti sukar. Amat penting penyerang membantu rakan sepasukan.

“Wayne Rooney dan Didier Drogba yang kerap menjaringkan gol bekerja keras untuk pasukan.


“Yang pasti, kami mempunyai lebih ramai penyerang dan boleh mengambil banyak risiko berbanding tahun lalu tetapi saya sedar kami perlu menjaringkan lebih banyak gol jika mahu menjuarai Liga Perdana Inggeris.


Mancini bagaimanapun turut ingin menggunakan khidmat Carlos Tevez untuk perlawanan itu.


Apapun, Mancini percaya Aguero yang memecahkan rekod Diego Maradona sebagai pemain termuda beraksi dalam divisyen teratas Argentina boleh memenuhi apa saja harapan yang disandarkan terhadapnya.


“Dia bermain selama enam tahun dalam kancah bola sepak senior, bermain di Sepanyol dalam pasukan hebat dan saya yakin dia tiada masalah menyesuaikan diri.


“Dia mempunyai perwatakan hebat dan saya harap dia dapat menjaringkan 20 gol musim ini.” Biarpun Tevez belum cergas sepenuhnya, Mancini berkata, penyerang itu boleh diturunkan dalam perlawanan menentang Bolton.


Jurulatih Itali itu turut menafikan kehadiran Tevez akan memberi pengaruh negatif kepada Aguero.


“Kami mempunyai empat penyerang hebat, Carlos dan Aguero berasal dari Argentina dan bertutur bahasa yang sama tetapi mereka masih boleh bekerjasama dengan penyerang lain.


“Saya tidak fikir Tevez akan mencetuskan masalah kerana dia seorang pemain profesional dan sentiasa mengikut peraturan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails