SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Thursday, August 18, 2011

GAMBAR WAJAH DISIMBAH ASID



Kerajaan digesa segera melaksanakan cadangan untuk memperketatkan penjualan asid kepada orang awam bagi mengekang kejadian simbahan asid yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh memberitahu, langkah itu wajar dilakukan segera dan sekiranya tidak, lebih ramai khususnya wanita dan kanak-kanak akan menjadi mangsa.

Beliau turut mencadangkan agar hukuman ke atas jenayah simbah asid ditambah bagi menakutkan pelaku.

“Sebagai contoh, satu kes simbah asid di Bangsar baru-baru ini, pesalah dihukum mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa kepada tiga tahun penjara atau denda RM1,000 sahaja.

“Jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan kesan kekal pada anggota badan mangsa yang melecur, hukuman itu terlalu ringan,” katanya ketika ditemui semasa melawat seorang mangsa simbahan asid di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mangsa, Mohd. Rafie Abdul Latiff, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, ketika berada di dalam keretanya, di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 8 Ogos lalu.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd. Rafie berkata, semasa insiden dia berada di tempat duduk penumpang dan sedang menunggu seorang rakannya yang ingin menggunakan tandas awam.

“Seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah saya.

“Mujurlah rakan saya yang mendengar jeritan mengambil air dari tandas dan menyimbah untuk meringankan kesan,” katanya lagi.

Mohd. Khairun memberitahu, sebuah jawatankuasa tabung amanah telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos perubatan Rafie.

“Seperti dua kes yang sama, kos perubatan mangsa simbah asid agak tinggi dan mengambil masa yang panjang,” katanya.

Sementara itu, bapa Rafie, Abdul Latiff Kassim, 61, meluahkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa anak ketiganya yang masih bujang itu.

“Saya mencadangkan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi tumpuan yang diharap dapat membantu mengesan suspek dengan lebih mudah,” jelasnya.

Pada 14 Mei lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan peraturan penjualan asid diperketatkan agar ia tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails