SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Thursday, August 18, 2011

SALMA DAN ERRA FAZIRA


CERITA juara program realiti Mentor musim ke-4, Salma, mahu menguruskan sendiri kerjaya seninya, seperti yang pernah diluahkan sebelum ini mendapat pelbagai reaksi. Ada yang positif dan tidak kurang juga yang bersifat negatif.
Dari sudut positif, ada yang menganggap ia cara terbaik Salma untuk lebih berdikari dalam bidang ini, tanpa perlu mengharapkan sesiapa termasuk bekas mentornya, Erra Fazira.
Namun yang tidak sedap didengar di sebalik keputusan berkenaan apabila ada yang mendakwa kononnya berlaku perselisihan faham antara Erra dan Salma sehingga penyanyi yang berasal dari Sabah itu bertindak drastik untuk menguruskan kerjaya nyanyiannya sendiri. Apakah benar Erra dan Salma berbalah? Jika benar, apakah punca keretakan itu berlaku? Pertemuan bersama Erra baru-baru ini berjaya meleraikan kekeliruan yang timbul.

Tegas aktres yang juga penyanyi jelita itu, antara dia dan Salma tiada apa yang berlaku. Sebaliknya, keputusan untuk menguruskan sendiri kerjayanya dibuat atas kehendak bakat baru terbabit.

“Sepanjang bergelar mentor kepada Salma, Erra tidak pernah meletakkan syarat yang Salma perlu berada di bawah naungan Erra walaupun selepas keluar daripada program ini. Bagi Erra, tiada sebarang paksaan yang perlu dilakukan dan dia lebih selesa jika Salma mengikut kehendaknya sendiri.

“Mungkin Salma ada penasihat tersendiri, yang mahukan dia menguruskan sendiri kerjaya seninya. Jika betul, Erra harap apa yang dilakukannya itu nanti mampu memberinya lebih ruang untuk menjadi penghibur berjaya,” ujar Erra yang ditemui pada majlis Pelancaran Lima Saluran Baru & Pratonton Program Raya Terbitan Astro di Saloma Bistro, Jalan Ampang, baru-baru ini.
Walaupun bibirnya melafazkan perkataan tidak kisah, namun jauh di sudut hati Erra, terselit juga rasa ralat apabila anak didiknya itu nekad membuat keputusan berkenaan tanpa merujuk terlebih dulu kepadanya.

“Erra rasa sayang sangat kerana hala tuju selepas keluar daripada mentor adalah yang lebih penting sebenarnya, buat diri Salma. Erra tak mahulah nanti dia tersilap langkah, sekali gus impiannya untuk menjadi seorang penghibur berjaya ranap begitu saja.

"Walaupun memang tiada sebarang perjanjian hitam putih yang menyatakan Erra harus terus membimbingnya, tapi sedikit sebanyak, Erra ada juga beberapa perancangan yang sudah disediakan untuknya.

“Erra pernah berkata padanya, jika dia perlukan bantuan dari segi imej atau penampilan, bolehlah menghubungi Erra dan team lain. Tapi sehingga kini, dia senyap saja tanpa memberikan sebarang maklum balas,” ujar Erra sambil tersenyum.

Biarpun tidak lagi mempunyai sebarang ikatan rasmi, namun Erra tetap bersifat terbuka terhadap penyanyi itu dan bersedia menerima dirinya kembali.

“Jika sekiranya dia tidak bertemu apa yang diinginkan sepanjang menguruskan sendiri kerjaya seninya, dan mahu kembali meminta pertolongan Erra, Erra sedia untuk membantu. Erra tak kisah, asalkan dia berjaya menggapai cita-citanya untuk menjadi seorang penghibur,” jelas Erra penuh diplomasi.

Teruja buat persiapan raya Aleesya

SETIAP tahun, ketibaan Aidilfitri lebih seronok dirasakan Erra terutama apabila disambut bersama suami tercinta, Engku Emran, dan anak sulungnya, Engku Aleesya.

Selain keluarga, dua insan ini ialah pelengkap kehidupan Erra, sekali gus menjadikan dirinya sempurna sebagai seorang wanita.

Bersembang mengenai persiapan menyambut 1 Syawal, Erra berkata, sejak berkeluarga, persiapannya bertambah berbanding zaman anak dara.

“Bila sudah berkahwin, persediaan untuk menyambut Hari Raya semakin bertambah.
Dulu untuk diri sendiri dan keluarga, tapi kini untuk rumah sendiri, suami dan juga anak. Paling mengujakan ialah ketika membuat persiapan Aleesya yang semakin bijak bergaya. Kalau bawa dia pergi membeli-belah, dia sudah boleh pilih mana satu pakaian yang dia berkenan.

“Walaupun dia tak tahu lagi makna berhari raya, tapi dia boleh tahu yang dia nak balik kampung dan siapa yang dia akan jumpa di sana,” cerita Erra mengenai keletah anaknya yang berusia dua tahun itu.

Ditanya ke manakah pasangan ini bakal menyambut Lebaran tahun ini, Erra berkata, besar kemungkinan dia akan menyambut Aidilfitri di kampung suaminya di Pulau Pinang.

“Itu pun belum pasti lagi sebab tahun lalu perancangannya nak berhari raya di kampung juga, tapi sudahnya beraya di Kuala Lumpur saja. Macam Erra, tak kisah pun nak beraya di mana-mana. Erra ikut saja apa perancangan yang sudah diatur,” katanya sambil mengakui jarang mengenakan pakaian sedondon seperti pasangan lain ketika Hari Raya.

Sebagai wajah eksklusif Astro, sempena musim perayaan ini, Erra mendominasi program Hari Raya apabila terbabit dalam pelbagai program yang disediakan oleh stesen televisyen berbayar itu. Antaranya program permainan, Mega Raya 2011, telefilem Mak Ok Jer dan Pontianak Beraya Di Kampung Baru.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails