SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Friday, August 26, 2011

SKUAD OLIMPIK NEGARA BERMAIN DI LUAR NEGARA



MISI skuad Olimpik negara ke Slovakia boleh dianggap berjaya. Mereka mempergunakan sepenuhnya peluang berguru di bumi Slovakia yang akan menjadi azimat bagi meneruskan perjuangan mereka pada pusingan kelayakan Olimpik 2012 selepas ini. Skuad negara kini sudah menempatkan diri dalam saingan peringkat kumpulan kelayakan tersebut.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee itu sudah menamatkan siri perlawanan persahabatan di Slovakia dengan nota cemerlang apabila berjaya menewaskan kelab Liga 1 Slovakia, Levice 1-0 di Zlate Moravce kelmarin.

Ia merekodkan keseluruhan lima kemenangan termasuk menewaskan Moldava 1-0, Topolcany 2-1, Mikulas 2-1 dan Dolny Kubin 2-0 serta hanya tewas dua kali kepada kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan kelab Liga Corgon Slovakia, FC Nitra 0-1, Selasa lalu.

Tidak cukup dengan itu, tiga tonggak utama skuad Olimpik - Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas semalam sah bergelar pemain pinjaman kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce untuk tempoh dua bulan sehingga awal November depan.

Ketiga-tiga mereka tidak dapat menyertai 27 pemain lain yang akan berlepas pulang ke tanah air petang esok kerana perlu terus menjalani latihan bersama ViOn bermula semalam untuk menghadapi perlawanan menentang FK Senica esok.

Semalam, Kim Swee juga turut mengumumkan senarai 22 pelatih untuk kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 1 September depan bagi persiapan menghadapi Jepun di Tosu, Fukuoka pada 21 September.

Gary Steven Robbat dan Ahmad Fakri Saarani antara lima nama yang digugurkan selain Affize Faisal Mamat, Azrul Azmi dan penjaga gol,

K. Sasikumar.


“Saya tidak menyenaraikan Gary dan Fakri kerana mereka tidak dapat beraksi bertemu Jepun akibat penggantungan kad merah.

“Affize cedera, Azrul berusia 23 tahun (untuk Sukan SEA) manakala Sasikumar pula kerana kita sudah ada tiga penjaga gol.

“Tanpa Gary dan Fakri memang menjejas sedikit perancangan tetapi kita telah mempunyai alternatif lain.

“Manakala Wan Zack, Irfan dan Fadhli pula hanya akan pulang ke tanah air pada 11 September.

“Tapi saya tak rasa ia mengganggu persiapan kerana masih ada baki 10 hari untuk mereka bertiga berlatih bersama sebelum kita bertemu Jepun,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Sebagai persiapan menghadapi Jepun, skuad negara akan mengadakan dua lagi aksi persahabatan di Kuala Lumpur iaitu bertemu kelab Iraq, Al-Arbil pada 9 September dan skuad Olimpik Oman pada 14 September.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails