SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Thursday, August 18, 2011

PERKAHWINAN ASHRAF MUSLIM


“MENITI perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan adalah satu pengalaman yang sukar diterjemah dengan kata-kata kerana segala-galanya bagai satu teka-teki.

Seronok dan bersyukur, namun ada kalanya timbul pula rasa berdebar dan gusar. Tapi itulah keindahan yang saya rasai ketika ini,” jelas pelakon dan pengacara kacak, Ashraf Muslim, 30, yang kini menghitung hari detik pernikahannya dengan gadis pilihan yang tidak sampai dua minggu lagi.
Pelakon utama drama siri Ustaz Amirul yang kini lebih banyak meletak fokus pada lapangan perubatan Islam ini mengambil keputusan melangsungkan pernikahan dengan Noor Dayana Lokman, 24, di Makkah pada 30 Ogos yang juga 1 Syawal selepas bertunang pada 23 April lalu.

Ashraf yang tidak henti mengucap syukur, mengakui semuanya begitu pantas namun apa yang penting adalah melunaskan mana yang wajib.


“Memang saya dan Dayana mengambil keputusan dengan pantas, namun semuanya adalah perancangan bersama. Sengaja kami memilih untuk bernikah pada 1 Syawal di Masjidil Haram mengikut sunnah Nabi dan para sahabat. Mungkin ini adalah yang terbaik buat kami berdua juga keluarga yang merestui sejak awal perkenalan.


“Saya akui begitu berdebar lebih-lebih lagi apabila semakin hampir dengan tarikh pernikahan. Bukan kerana tidak bersedia, namun saya bimbang dengan tanggungjawab yang bakal saya pikul. Alhamdulillah, semuanya lancar dan kini saya yakin pernikahan ini adalah keputusan terbaik.

“Saya sudah sedia menjadi seorang suami dan pemimpin keluarga. Sudah lama saya nantikan saat ini dan syukur Allah permudahkan perjalanan kami,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, Selasa lalu.

Dalam kunjungan itu, Ashraf menghantar kad jemputan untuk majlis perkahwinannya pada 17 September nanti selepas melangsungkan pernikahan
di Makkah.

Kad undangan kahwin Ashraf menarik seperti al-Quran bermula dengan surah Al-Fatihah dan surah Muhammad, barulah urusan perkahwinan. Ia direka khas untuk Ashraf oleh kadkahwinku.com.

Ashraf dan rombongannya berlepas ke Tanah Suci jam 10 pagi semalam bersama bakal ayah mentuanya, Lokman Abdul Hamid yang juga pemilik Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak serta dua lagi sahabatnya bagi mencuri peluang mengerjakan umrah terlebih dulu.

Dayana yang akan tamat pengajian jurusan perubatan di Universiti Manipal, India pada Mac tahun depan, kini mengikuti kursus praktikal di Melaka dan bakal menyusul ke Makkah seminggu kemudian bersama ahli keluarga terdekat untuk majlis akad nikah.

Pasangan ini kemudian pulang ke tanah air selepas seminggu menyambut Syawal di sana dan bakal melangsungkan majlis resepsi pada 17 September depan di rumah pengantin perempuan di Gombak dan seminggu kemudian untuk majlis bersanding sebelah lelaki bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Mengenai jumlah hantaran, Ashraf enggan mendedahkan jumlahnya. Katanya, dia bertuah kerana banyak pihak terutamanya keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu.

Tidak hanya dipertemu jodoh dengan gadis idaman, sebaliknya Dayana bagai melengkapi hidupnya selepas hampir tiga tahun bersendirian tanpa kekasih sejurus menamatkan hubungan cinta bersama dramatis, Sherry Ibrahim.

“Saya bahagia sekarang dan benar-benar miliki apa yang pernah saya bayangkan. Perkenalan, mengenali hati budi dan terus mengikat tali pertunangan hingga kini berjaya mencatur langkah ke sebuah fasa perkahwinan, ia saya sifatkan sebagai satu keikhlasan, jujur dan rasa yakin.

“Dayana memang pilihan saya kerana dia memiliki apa yang saya inginkan. Bukan sekadar solehah dan berbudi pekerti, malah dia begitu memahami dan punya keserasian dengan saya membuatkan sepanjang perkenalan ini saya begitu selesa dan percaya dengannya.

“Insya-Allah inilah kebahagiaan yang saya cari dan apa yang perlu kini adalah komitmen dengan meletak sepenuh fokus untuk membentuk keluarga sempurna,” jelasnya yang tidak memikirkan soal anak sebaliknya menyerahkan semuanya kepada takdir dan rezeki.

Ashraf yang juga anak sulung daripada lapan beradik, akan terus bersama pusat perubatan dan terus berusaha mengejar impian untuk memiliki hospital perubatan sendiri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails