HARGA tiket final Piala Malaysia kekal RM50. Mahu atau
tidak, penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu harus membayar RM50 bagi
sekeping tiket jika tetap berhajat menyaksikan aksi final Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT)
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar)
menjelaskan bahawa pihaknya tidak bercadang menurunkan harga tiket tersebut.
Hamidin berkata, keputusan menetapkan harga tiket pada nilai
RM50 bagi semua tempat duduk termasuk grandstand dibuat selepas mengkaji
daripada pelbagai aspek terutama kos penganjuran pada aksi final itu nanti.
“Saya faham dengan keluhan serta rungutan di kalangan
penyokong-penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan, malah kami (FAM) juga peka
dengan saranan yang dibuat oleh (Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek yang meminta kami mempertimbangkan harga tiket berkenaan.
“Namun, suka saya jelaskan bahawa harga tiket ditetapkan
selepas mengambil kira daripada semua aspek yang melibatkan kos seperti kos
pembayaran elaun pengadil, kos penyelenggaran stadium, kos keselamatan dan
beberapa lagi kos yang perlu dijelaskan.
“Lagipun, hasil penjualan tiket itu nanti akan dibahagi dua
kepada pihak persatuan bola sepak negeri iaitu Negeri Sembilan dan Terengganu
selepas ditolak dengan kos-kos penganjuran perlawanan akhir itu nanti.
“Ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada
penyokong-penyokong kedua-dua pasukan ini untuk menyumbang kepada tabung bola
sepak negeri masing-masing,” kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hamidin yang juga Naib Presiden FAM mendedahkan bahawa harga
tiket aksi final Piala Malaysia itu merupakan kedua terendah berbanding
negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
“Kami telah membuat kajian bahawa selepas Singapura,
Malaysia adalah negara kedua yang menjual tiket dengan harga terendah,” tambah
Hamidin.
Terdahulu, pelbagai rungutan timbul dalam kalangan
penyokong-penyokong kedua-dua pasukan yang menganggap harga tiket yang
diputuskan FAM itu adalah terlalu mahal.
Malah, Ahmad Shabery turut meminta FAM mengkaji semula harga
tiket tersebut kerana dianggap mahal bagi penyokong-penyokong kedua-dua pasukan
terutama yang kurang berkemampuan.
Kelmarin, sekumpulan penyokong Negeri Sembulan mengadakan
bantahan secara aman di hadapan Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan
(PBNS) serta mengedarkan risalah kepada penyokong lain supaya memboikot
penjualan tiket final itu.
Pada musim lepas, harga tiket final Piala Malaysia dijual
pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk grandstand.
Aksi final Piala Malaysia 2011 yang menemukan Terengganu
dengan Negeri Sembilan bakal berlangsung di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45
malam, Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment