SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Monday, October 31, 2011

KEPUTUSAN MAHARAJA LAWAK MEGA MINGGU PERTAMA



Pelakon komedi dan pelawak veteran membuktikan sentuhan jenaka mereka masih berbisa. Hakikat itu terbukti apabila menguasai empat kedudukan teratas saingan pembuka tirai Maharaja Lawak Mega 2011.

Gandingan Boboi menampilkan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik di tangga pertama dengan 61 peratus undian. Kombinasi Bawal Power iaitu Bob Kuman dan Sobri berkongsi tempat kedua bersama trio Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda, Mat Over dan Sathia dengan 59 peratus dan Jalil Hamid di tangga ketiga.

Maharaja Lawak Mega membuka saingan 17 peserta membabitkan penyertaan tiga negara Asia Tenggara - Malaysia, Indonesia dan Singapura, Jumaat lalu. Program realiti ini dibawakan secara langsung bermula jam 10 malam di Royal Theater Selangor, Shah Alam pada setiap Jumaat.

Program disiarkan menerusi Astro Warna (Saluran 132) dikendalikan pengacara, Datuk AC Mizal menyaksikan tiada penyingkiran minggu pertama.

 Mereka dinilai tiga pengkritik tetap iaitu penyanyi paling popular Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, Chef Wan dan bekas kapten bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin Hassan. Juri jemputan, Imran Ajmain dari Singapura.


Saingan menyenaraikan tiga wakil dari Indonesia, Bawel diwakili Amin Bawel, Dodon dan Dadang. Trio Saehu menonjolkan Eko, Vicha dan Bocil, sementara Caer dianggotai Adetao, Mr Ibo dan Decaer.

Singapura dengan dua wakil, kumpulan Syok menampilkan Suhaimi, Ifa Raziah dan Ariff Sudin manakala Hani dan Azian tampil dengan nama Gebu.

Kata Siti, saingan minggu pertama Maharaja Lawak Mega memang berlainan daripada program lawak realiti lain kerana disertai ramai ‘otai’ popular satu ketika dulu.

“Sebaik menerima tawaran, saya tidak menolak kerana memang mahu menyaksikan telatah pelawak berpengalaman membuat orang ketawa pecah perut. Biasanya, saya sekadar melihat mereka dalam televisyen, tetapi sekarang menonton mereka ‘live’ dan memberi kritikan sejujur yang boleh. Saya harap tarikan untuk penonton ketawa meningkat pada saingan minggu kedua,” katanya.

Dengan pengalaman menetap di Amerika Syarikat selama 14 tahun, Chef Wan berkata, dia memang menantikan program seperti itu kerana sudah biasa melihat sitkom Amerika yang spontan.

“Peserta Maharaja Lawak Mega (malam ini) berusaha keras menghasilkan lawak untuk buat orang ketawa. Lawak solo Jalil Hamid mengenai karakter ayam dan Adlin Aman Ramli mengenai bapanya, AR Tompel sangat kelakar. Saya harap peserta membuat latihan lebih mantap kerana jika kena dengan teknik selamba, penonton akan ketawa. Jadi, perlu cari idea mudah tanpa kostum atau memaksa diri yang tidak memberi sebarang makna jika topik tidak difahami,” katanya.

Zainal, bekas pemain pertahanan dan penyerang negara yang membawa Pahang menjuarai Piala Malaysia 1983 mengakui ada antara lawak dipamer peserta hanya sekali-sekala.

“Penonton ternanti-nanti sedangkan peserta lambat memberi ‘punchline’. Dalam tempoh tiga minit diberikan memang sukar, tetapi bagi orang lama seperti Afdlin, Harun, Jalil atau Adlin, ada saja hendak diceritakan membuat penonton dalam auditorium ketawa dan mungkin ramai penonton di rumah juga begitu,” katanya.

Tarikan utama adalah tiga adegan lawak ditonjolkan Boboi mengenai adik-beradik berlainan ibu tapi satu bapa. Sindiran pedas Bawal Power ditujukan kepada setiap peserta Maharaja Lawak Mega membuat suasana gamat.

Bawel menggabungkan dua lelaki dan seorang wanita dengan tiga saiz dan daerah berbeza di Indonesia, unik dengan kehadiran Bocil berusia 27 tahun berketinggian 117 sentimeter.

“Kami berasa lega di tangga keenam di belakang Bawel, tetapi malangnya Caer menduduki tangga tercorot. Kami bersedia mempamer lawak lebih baik minggu ini dan tinggal selama tiga minggu di sini untuk berlatih. Program Maharaja Lawak Mega menarik kerana kami tidak pernah bertarung dengan Bawel atau Caer di Indonesia tetapi bersaing di Malaysia,” kata ketua kumpulan Saehu, Eko.

Dua peserta solo, Jalil Hamid hadir dengan jenaka ego ayam jantan dan evolusi ayam betina. Adlin menceritakan kehebatan bapanya, arwah AR Tompel memikat wanita dengan enam menjadi isterinya dan kisahnya sebagai anak ke-17 daripada 18 beradik.

Beberapa kumpulan lain bersaing ialah Anje (Achong Sweet Child/Joey Daud), Rap (Aziz Kota, Pak Lah/Rama), Comel (Bell Ngasri/Radhi Khalid), Osbon (Mr Os/Abon), Lanun (Jegan/Elyas, Salman), 3G (Yassin/ Didie Alias/Enot) dan Hiro (Hamdan/Ropi/ Illya).

Format penyingkiran mingguan Maharaja Lawak Mega dilakukan menerusi 70 peratus undian markah juri dan 30 peratus undian penonton.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails