ISU filem tempatan yang membanjiri pawagam sejak
kebelakangan ini menjadi bualan banyak pihak. Ia dikomen oleh banyak pihak
termasuklah bekas Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira dua
minggu lalu.
Filem-filem seram antara lain dikatakan banyak membawa
implikasi kurang sihat ke atas pemikiran para penonton. Secara tidak langsung
isu itu turut mengheret Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk tampil ke
depan.
Ini kerana, PFM yang menaungi para penerbit filem tanah air
berasa bertanggungjawab memperjelaskan isu tersebut. Ia juga dilihat sebagai
salah satu cara PFM bagi membela ahli-ahlinya dalam menangani isu itu.
PFM tidak terkecuali memberikan pandangannya bagi
mengurangkan kebanjiran filem-filem seram tempatan. Presiden PRM, Datuk Paduka
Shuhaimi Baba berkata, antaranya dengan menggunakan dana sedia ada.
Menurutnya, PFM mencadangkan agar para penerbit, pengarah
atau penulis skrip diberi bantuan daripada Dana Perkembangan Projek bagi
menggalakkan mereka mencari jalan cerita selain daripada filem seram.
"Saya mahu mencadangkan agar golongan terbabit diberi bantuan
daripada Dana Perkembangan Projek atau Developement Fund Project yang telah
disediakan sebelum ini. Ia sebagai suatu galakan untuk mereka.
"Daripada dana itu ia boleh digunakan bagi menjalankan
penyelidikan supaya mereka dapat mencari idea dan jalan cerita yang lain selain
daripada cerita-cerita seram. Penulis skrip paling utama dalam projek seperti
ini.
"Dana sebanyak 15 hingga 20 peratus peruntukan daripada
kos bajet pembikinan sesebuah filem itu boleh disaluran kepada golongan
terbabit," katanya pada sidang akhbar di Hulu Klang, Selangor, baru-baru
ini.
Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi bersama Setiausaha PFM,
Norman Abdul Halim dan Naib Presidennya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tampil
menjelaskan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam dunia perfileman hari
ini.
Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi menafikan berlakunya
lambakan filem-filem seram sejak kebelakangan ini kerana katanya daripada 42
filem cereka tempatan yang dihasilkan tahun ini cuma terdapat 18 sahaja filem
seram.
"Daripada jumlah 18 filem seram itu pula, hanya enam
daripadanya adalah filem komedi seram. Jumlah filem-filem seram itu juga tidak
termasuk filem-filem luar seperti daripada Thailand, Hong Kong ataupun
Hollywood.
"Dalam hal ini, saya sendiri tidak boleh berbuat
apa-apa kerana ia membabitkan soal bisnes. Ahli-ahli PFM mempunyai hak untuk
menghasilkan filem yang mereka suka mengikut pasaran semasa. Mereka semua
mengikut trend.
"Mereka mempunyai data dan asas yang kuat berdasarkan
realiti dan trend semasa dalam dunia perfileman. Kami memberi maklum balas dan
data tentang kecenderungan para penonton termasuklah dalam filem seram,"
katanya.
Bagi mengatasi masalah itu PFM bercadang untuk mengadakan
pertemuan ataupun menghantar surat penjelasan kepada Dr. Mahathir bagi
menjelaskan isu itu. Ia bagi menjaga kepentingan ahli-ahli PFM pada masa depan.
Selain itu, Shuhaimi juga berharap PFM akan mengadakan
pertemuan dengan pihak-pihak yang terbabit dalam industri ini bagi
menyelesaikan isu itu. Antaranya dengan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF),
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (Finas) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak
berkata, perbadanan itu memandang teguran Dr. Mahathir selain pada masa sama
memahami tanggungjawab yang terpaksa digalas oleh ahli-ahli PFM dalam
menerbitkan filem.
"Finas akan mengumpulkan data-data untuk rujukan para
penerbit filem. Pada masa sama kami juga akan mengadakan pertemuan dengan
mereka bagi berbincang bagaimana mahu menghasilkan lebih banyak genre filem.
"Contohnya dalam genre fiksyen sains yang masih belum
banyak diterokai dalam industri perfileman di negara ini. Saya anggap lambakan
filem seram hanya trend sahaja. Di negara Thailand, Korea dan Jepun trend itu
semakin berkurangan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment