Entah angin apa yang masuk ke dalam badan dua artis popular
ini pun SS tak tahu. Adakah kerana gosip percintaan mereka yang hangat
diperkatakan kembali kebelakangan ini menyebabkan mereka mahu menjauhkan diri
daripada orang ramai termasuk penerbit drama dan filem.
Ramai penerbit bertanya kepada rakan sekerja SS, apa yang
sudah berlaku kepada mereka berdua ini sehingga payah untuk dihubungi. Sudah
puas mencuba mendail untuk berhubung dengan mereka tetapi gagal.
Ada beberapa penerbit bertanya mengapa dua artis popular ini
enggan mengangkat telefon. Bukan mereka mahu bergosip atau bertanyakan status
sama ada benar atau tidak mereka bercinta, sebaliknya hendak menawarkan mereka
membintangi filem mahupun drama yang diterbitkan.
Ada juga yang mengadu, kedua-dua artis ini hanya akan
mengangkat talian telefon daripada seorang pengarah dan penerbit ini saja.
Kalau orang lain yang menghubungi mereka, ‘haram’ mahu diangkat.
SS sendiri tertanya-tanya mengapa boleh jadi sampai begitu.
Apa mereka sudah tidak sayang dengan kerjaya seni yang dibina bertahun-tahun?
Memanglah tahu mereka ini popular dan selalu menjadi pilihan kebanyakan stesen
televisyen, tetapi janganlah sampai layan penerbit dan pengarah lain sedemikian
rupa.
Kata seorang penerbit ini, kedua-dua artis ini hanya mahu
bekerja dengan seorang pengarah dan penerbit prolifik ini dengan alasan lebih
selesa dan memahami mereka.
Masalahnya sekarang, memanglah dua pelakon yang dikatakan
sedang hangat bercinta ini selesa bekerja dengan penerbit dan pengarah
terbabit. Lagipun orang tengah ada nama. Takut esok kalau sudah suam-suam kuku,
penerbit dan pengarah itu pun tidak mahu ambil mereka berlakon lagi.
Kalau perkara begitu berlaku, baru hendak terhegeh-hegeh
buat baik dengan penerbit lain, Waktu itu kalau merayu pun tidak berguna, sebab
semua sudah berkecil hati.
Kalau tidak mahu berlakon dengan pengarah dan penerbit lain
pun cakaplah baik-baik. Kata sudah terikat dengan beberapa projek dan sibuk
sepanjang tahun.
Sekurang-kurangnya ia memudahkan penerbit mengusulkan kepada
stesen televisyen agar mencari pelakon lain sebagai pengganti. Bukankah dunia
seni kita ini kecil dan saling perlu memerlukan.
No comments:
Post a Comment