“I love my wife,” ringkas jawapan Omar Sharif Christopher
Layton Dalton sewaktu menjawab gosip dia curang terhadap isterinya, penyanyi
terkenal, Ning Baizura Hamzah, 36.
Omar yang menemani Ning sewaktu majlis pelancaran muzik
video single terbaru isterinya berjudul Bila di Red Box The Garden, baru-baru
ini, enggan mengambil pusing gosip itu walaupun pada mulanya agak terkejut.
Malah, dia langsung tidak bimbang kerana yakin dirinya tidak
pernah menduakan Ning, bahkan amat menyayangi wanita yang dinikahi pada 31
Januari 2008 itu.
Ning pula menafikan rumah tangga mereka goyah sebaik gosip
mengenai suaminya bermain kayu tiga tersebar. Katanya, sejak berpisah dengan
pengurus lama, suaminya yang mengambil alih tanggungjawab itu dan menguruskan
karier seninya.
“Apabila abang menjadi pengurus saya, dia perlu banyak
keluar bertemu ramai orang, individu tertentu dan pelanggan berbincang mengenai
urusan kerja.
Takkanlah Ning Baizura sendiri hendak bercakap mengenai
harga persembahan. Jadi segala hal membabitkan tawaran dan bayaran, saya serahkan
sepenuhnya kepada abang selaku pengurus.
“Tambahan pula sekarang ini saya sedang merencanakan
konsert. Suami saya terpaksa menjaja nama isterinya untuk mendapatkan tajaan.
Saya anggap mereka yang menyebarkan gosip ini bukan untuk memporak-perandakan
hubungan kami tetapi mungkin orang ramai mengambil berat terhadap saya dan
Omar.
“Ketika Omar sedang bekerja pula, saya lebih senang tidak
masuk campur atau sentiasa ‘melekat’ bersama suami sepanjang masa,” katanya.
Akui Ning, dia sedikit pun tidak pernah mencurigai suaminya
kerana menyifatkan Omar seorang yang lurus. Malah, langsung tidak terkejut
apabila mendengar gosip berkenaan kerana sudah lali dengan mainan dunia glamor.
“Saya anggap gosip sebegini satu perkara normal. Mungkin
tidak bagi abang yang tak biasa dengan perkara semacam ini membuatkan dia agak
terkejut dan menunjukkan reaksi kurang senang. Malah dia tertanya-tanya gadis
Cina mana yang dimaksudkan mempunyai hubungan dengannya,” katanya.
Menyentuh pembikinan klip video Bila yang diterbitkan
Universal Music, ia memaparkan unsur kemanusiaan. Lagu yang dimuatkan dalam
album terbarunya, Dewa, kini sudah pun memasuki senarai karaoke RedBox.
Ning juga dalam perancangan mengadakan konsert di KL Life
Centre pada 2 dan 3 Disember dan segala kos ditanggung sendiri Ning melalui
syarikatnya, HappeNings.
Berbaur rasa kecewa di hati, Ning mengakui tiada pihak yang
sudi menaja konsertnya meskipun dia bukanlah anak kecil di persada seni suara,
sebaliknya tahun ini genap 18 tahun berkelana sebagai penghibur.
“Pada awalnya ada syarikat telco yang menyatakan persetujuan
untuk menaja konsert ini tetapi mereka menetapkan beberapa syarat yang
permintaan mereka itu tidak mampu saya penuhi. Saya pasti ia akan membebankan
saya dan peminat kelak.
“Harus saya akui terkilan dan kecewa kerana untuk mengadakan
konsert menggunakan belanja yang besar. Namun, jika hendak mengharapkan ihsan
penaja, sampai bila pun mungkin saya tidak akan mengadakan konsert. Kali
terakhir saya mengadakan konsert pada 1996.
“Tidak mengapalah, mana tahu selepas konsert ini, ramai
penaja akan membuka mata. Tambahan pula, saya merancang untuk mengadakan
konsert bagi meraikan ulang tahun pembabitan saya dalam nyanyian yang ke-19
diikuti konsert besar sempena 20 tahun dalam arena seni suara,” katanya.
Konsert itu bakal membawa penonton mengembara bagi mengimbas
semua perjalanan seninya. Setakat ini, perkembangannya sudah 80 peratus dan tiket
dijual pada harga RM150, RM200, RM225, RM250 dan RM375. Bagi pembeli tiket VIP
(RM375), akan didaftar sebagai ahli pusat pelangsingan badan, Medishape secara
percuma.
Semua tiket akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus
kepada yang membelinya bermula 17 hingga 31 Oktober. Untuk membeli, bolehlah
layari https://online.tickethotline.com.my.
Barangan cenderamata Ning Baizura turut dijual pada harga
promosi bernilai RM100 dan RM75 (pre purchase) yang terdiri daripada pelbagai
barangan eksklusif.
Tidak terbatas kepada konsert saja, Ning juga mahu
menerbitkan biografi yang tidak hanya mencatatkan perjalanan seninya yang penuh
ranjau tetapi juga menyelami insan berasal dari Kajang, Selangor ini secara
lebih dekat.
Segalanya akan diceritakan Ning mengenai apa yang pernah
berlaku pada dirinya pada awal pembabitannya hingga kini kerana Ning merasakan masyarakat
yang mengenali dirinya patut tahu kebenaran di sebalik setiap kisah tanpa
berselindung.
Wanita berkulit sawo matang ini sedar kehadiran biografi itu
akan membuka semula kisah lama yang boleh mengembalikan ingatan peminat
terhadap kontroversi memalukan yang pernah terpalit pada dirinya.
“Perjalanan seni seorang insan bernama Ning Baizura banyak
yang pahit daripada indah. Saya pernah berjalan kaki dan dihina masyarakat.
Saya mahu peminat tahu untuk berada di tahap ini, saya sudah merasai jatuh
bangun dan bagaimana saya bangkit daripada kegagalan,” katanya.
No comments:
Post a Comment