SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Friday, May 20, 2011

WAHEEDA BERHENTI BERLAKON DAN MENYANYI

TIADA apa yang lebih membahagiakan bagi seorang suami apabila isteri tercinta membuat keputusan mahu mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.

Itulah yang dirasai penceramah bebas dan bekas penyanyi rock 80-an, Akhil Abdul Hayy atau Akhil Hayy, 42 tahun, apabila isteri tercinta, Norwahidah Abdul Wahab atau Waheeda mengambil keputusan untuk berhenti daripada berlakon dan menyanyi sepenuhnya.

Lebih menyentuh perasaan apabila perkara itu datang atas kehendak Waheeda sendiri dan bukan dipaksa. Ditemui di lokasi penggambaran klip video lagu terbaru dendangan Akhil Hayy bersama Mawi, HambaMu yang dilakukan baru-baru ini, penceramah bebas itu turut menjelaskan dia menerima keputusan dibuat isterinya dengan hati terbuka.

“Tiada sekatan veto. Perkara itu datang daripada Waheeda sendiri. Malah perkara itu sudah dinyatakannya sebelum kami berkahwin lagi. Ternyata dia mengotakan kata-katanya.


“Sebagai suami, sudah tentu saya senang dengan keputusan diambil. Begitupun, dia tidaklah berhenti secara terus sebaliknya Waheeda kini aktif di balik tabir seperti mencipta lagu,” katanya.


Jelas Akhil, isterinya turut menyumbangkan karya untuk album kelima bakal diterbitkan Inteam Records. Dua lagu dicipta Waheeda untuk Akhil iaitu Ampuni Daku dan Maha Suci Engkau.

“Dia begitu serius dengan kerja kreatif. Di rumah pun kami ada studio sendiri jadi ini memudahkan Waheeda bekerja. Apabila Waheeda sentiasa berada di rumah, membuatkan saya tidak bimbang sangat,” katanya.

Ternyata lagu yang dihasilkan Waheeda itu jelas Akhil agak berbeza. Walaupun ia sebuah lagu bertemakan ketuhanan, tunjangnya lebih kepada muzik kontemporari dan agak moden.

Album dihasilkan itu nanti turut menampilkan kolaborasi Akhil Hayy bersama Kumpulan Maulud yang turut tampil menerusi rancangan Imam Muda dan Amir Munawwar. Kedua-dua lagu dihasilkan Waheeda ini juga menjadi single utama daripada album bakal diedarkan tidak lama lagi dan akan diperdengarkan kepada peminat dalam masa terdekat.

“Sekarang ini album saya sedang menjalani proses mastering dan setakat ini, saya memang berpuas hati dengan hasilnya. Sebagai pencipta lagu, saya banyak juga berbincang dengan Waheeda dan ternyata dia agak bernas dalam melontarkan pendapatnya. Saya senang kerana isteri juga banyak membantu dalam menentukan hala tuju kerjaya seni saya,” katanya.

Cerita Akhil lagi, walaupun sibuk dengan aktiviti di belakang tabir, Waheeda turut meluang–kan masa sekiranya ada pihak menjemputnya memberikan ceramah.

“Sebenarnya, ia lebih kepada berkongsi ilmu dan bukan mahu mengajar. Memang kalau menyanyi itu, Waheeda tidak mahu melakukannya lagi dengan alasan biarlah lelaki saja yang menyanyi atau membuat persembahan kerana ia dibenarkan.

“Waktu sama, Waheeda juga turut sama membantu saya menguruskan perniagaan yang dilaksanakan dan tumpuan kepada pengedaran barangan halal. Seperkara lagi, kami juga menyediakan pakej untuk menunaikan umrah dan haji. Kami baru saja pulang dari Tanah Suci menunaikan umrah.

“Begitulah kehidupan kami suami isteri. Ada masa terluang, selain menguruskan perniagaan, saya akan membawa Waheeda bersama-sama ke sana. Saya gembira apabila kehidupan kami kini semakin tenang dan segalanya berjalan seperti apa yang dirancang,” katanya.

Bercerita mengenai cahaya mata, jelas Akhil Hayy, mereka tidak pernah merancang namun sebaliknya belum ada rezeki lagi. Begitupun, kehidupan mereka tidak pernah sunyi kerana dua lagi anak Akhil Hayy hasil perkahwinan pertama menetap bersama mereka.

“Bagaimanapun, mereka kini tinggal di asrama di Perak. Saya tempatkan mereka di sana agar mudah untuk ibu mereka datang menjenguk. Jadi, perkara itu saya rasakan lebih adil untuk anak-anak. Saya sendiri senang begitu kerana apabila melawat anak-anak, di sana boleh terus pulang ke kampung,” katanya.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails