MILAN - Bintang Belanda Inter Milan, Wesley Sneijder sekali lagi memberi bayangan mengenai penghijrahan ke Manchester United.
Ditanya sama ada dia menggemari perpindahan ke Old Trafford, pemain tengah itu berkata: "Ya, tapi tiada lagi sesiapa yang menghubungi secara rasmi.
"Mungkin terdapat rundingan tidak rasmi. Situasi sekarang ialah saya masih pemain Inter Milan, namun kemungkinan saya meninggalkan kelab ini memang ada,"
Sneijder akan mewakili Belanda menentang England dalam aksi persahabatan di Wembley hari ini, dan mencari penyelesaian kepada masa depannya selepas itu.
Bekas bintang Ajax Amsterdam dan Real Madrid itu menambah: "Jika ada peluang mendatang dalam perjalanan karier saya, saya ada masa mencukupi untuk membuat keputusan mengenainya.
"Ia terpulang kepada kelab. Jika bidaan bagus diterima, mereka akan membiarkan saya pergi. Mereka tidak mahu kehilangan saya, namun mereka akan berbuat demikian.
"Saya akan meninggalkan England selepas perlawanan esok (hari ini), tapi kalau saya mendapat kebenaran, saya perlu kembali."
Pada awalnya, halangan terbesar untuk Alex Ferguson adalah gaji lumayan Sneijder iaitu 5.25 juta pound (RM26 juta) setahun selepas cukai.
Namun, berikutan kenyataan terbarunya itu, terdapat kemungkinan dia sanggup menerima tawaran yang lebih rendah untuk beraksi dalam Liga Perdana.
No comments:
Post a Comment