LONDON - Permintaan bintang tengah Perancis, Samir Nasri untuk berpindah ke Manchester City musim panas ini hampir menemui penyelesaian selepas Arsenal bersetuju untuk berlembut dalam kontraknya.
Empat minggu lalu ketika mengadakan jelajah pra-musim Asia, pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, beliau mahu mengekalkan pemain berusia 24 tahun itu dan rela kehilangannya secara percuma apabila kontrak Nasri berakhir musim panas depan.
Bagaimanapun, kelab London itu kemudian berubah fikiran dengan bersedia melepaskan pemain tersebut menerusi yuran perpindahan yang dianggap munasabah, 25 juta pound (RM124 juta) kepada City, perpindahan yang dianggap bijak, apatah lagi ia atas permintaan pemain sendiri.
Nasri enggan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal, yang membolehkan dia menerima 90,000 pound (RM147,000) seminggu kerana sedar, dia boleh memperoleh sekali ganda daripada itu di City. Arsenal akhirnya menerima hakikat bahawa Nasri sememangnya tidak lagi berminat untuk terus bersama mereka.
"Kami ada sasaran apa yang kami mahukan pada permulaan pra-musim,'' kata pengurus City, Roberto Mancini yang sering menyuarakan rasa kagum terhadap Nasri hingga menjengkelkan Wenger. Mancini bagaimanapun menolak kemungkinan yang pemain tengah Inter Milan, Wesley Sneijder akan menyertai mereka.
Nasri sebelum ini memberitahu rakan sepasukannya bahawa dia tenang saja memikirkan sama ada akan kekal atau meninggalkan kelab London itu, namun sejak akhir-akhir ini dia nampak semakin runsing kerana situasi tidak menyenangkan yang timbul dalam bilik persalinan.
No comments:
Post a Comment