Amukan Alex Ferguson di bilik persalinan ketika waktu rehat membawa hasil apabila barisan pemain muda Manchester United bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam.
Danny Welbeck menanduk masuk gol pertama United pada minit ke-61 sebelum tolakannya ke belakang disudahkan dengan baik oleh Anderson untuk gol kedua pada minit ke-76 disusuli gol ketiga Wayne Rooney tiga minit sebelum perlawanan berakhir.
"Kami masuk ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama dan selepas menerima kata-kata daripada pengurus, kami masuk ke padang untuk aksi babak kedua dengan penuh semangat," kata Welbeck.
Ferguson tampak begitu berpuas hati dan gembira dengan persembahan barisan skuad kedua termudanya dalam sejarah beliau bergelar pengurus United untuk saingan Liga Perdana England.
"Saya gembira dengan mereka kerana ini menunjukkan bahawa kami masih mampu mempercayai pemain-pemain muda.
"Kami sentiasa yakin dengan pemain muda kerana mereka memiliki kemampuan yang hebat.
"Memang aksi agak laju (permainan) pada babak pertama untuk kedua-dua pasukan.
"Tetapi pada babak kedua, kami tampak menguasai perlawanan dan mempamerkan satu persembahan yang cukup baik," kata Ferguson.
Ia merupakan aksi ketiga Ferguson menggandingkan Welbeck bersama-sama Rooney di barisan serangan dan penyerang berusia 20 tahun itu ternyata memberikan hasil terbaik.
"Pada babak pertama dia (Welbeck) tidak seperti penyerang kerana lebih banyak berada di tengah. Jadi pada waktu rehat, saya beritahunya supaya lebih naik ke atas dan ternyata dia telah memberi perubahan.
"Dia memiliki bakat. Kami meminjamkannya ke Sunderland sebelum ini dan kini dia tampak sudah matang. Dia baru berusia 20 tahun dan memiliki masa depan yang cerah," jelas Ferguson.
Selain Welbeck, pemain pertahanan kanan, Phil Jones, 19, merupakan seorang lagi bintang muda yang dibeli Ferguson daripada Blackburn Rovers.
Dia juga telah mempamerkan aksi meyakinkan apabila diletakkan dalam kesebela- san utama awal pagi semalam.
No comments:
Post a Comment