Melalui tulisan panjang lebar di Instagram, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 25, membongkar tembelang Aliff yang dilaporkan curang. Kali ini, dengan seorang heroin telefilem lakonan suaminya itu.
“Berlaku lagi. Sejak kes yang dulu, saya berikan peluang pada dia sebab setiap manusia buat kesilapan dan sebab saya pandang anak saya.
“Apa yang saya alami anda semua memang tidak boleh bayangkan. Selepas Aliff habis jalani penggambaran telefilem baru-baru ini, dia buat hal lagi dengan heroin yang bekerja dengan dia,” tulis Bella.
Kata Bella, dia sudah mula menghidu suaminya itu kembali dengan tabiat lamanya apabila berkelakuan lain. Menurutnya, Aliff tukar kata laluan telefon.
“Apabila saya paksa dia buka telefon, dia buka tapi pandai sudah padam perbualan dengan heroin itu.
“Jadi, saya bertindak telefon sendiri heroin tersebut jawapan dia kepada saya: Ya Allah Bella tiada apa-apa pun, kenapa Aliff buat hal lagi ke? Boleh tak bagi Via jumpa dia, Via mahu cakap pada dia, kembali kepada Allah,” tulisnya.
Apa yang mengejutkan, kata Bella, orang yang menasihatinya itu adalah wanita yang sama-sama pergi kelab malam dengan suaminya.
“Orang yang sama pergi kelab malam dengan Aliff, menari, peluk dan mabuk bersama. Saya solat tidak sangka doa saya dijawab dengan begitu cepat. Terima kasih kepada orang yang Direct Messege (DM) saya, kalau tidak saya tidak tahu apa-apa,” katanya yang mengakui amat terkejut.
Menurut Bella, wanita yang dilaporkan curang dengan suaminya adalah pelakon, Oktovia Manrose. Oktovia merupakan anak kepada penyanyi dangdut terkenal, Iwan.
Sebelum ini, Aliff Aziz pernah curang apabila Bella mendapati suaminya itu bersama pelakon Afifah Nasir berdua-duaan dalam bilik karaoke. - K! ONLINE