SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Monday, July 25, 2011

ABBY ABADI HANTAR SMS KEPADA NORMAN


HANYA Tuhan yang tahu debaran yang melanda dalam diri pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey menanti saat diijabkabulkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Harapan Norman semoga semua pihak mendoakan yang terbaik buatnya dan Memey untuk memulakan kehidupan berkeluarga yang diimpikan setiap pasangan.

  

SEPADAN...Norman dan Memey bakal disatukan tanggal 24 September ini.


BAHAGIA...Norman dan Memey bakal diraikan dalam majlis rersepsi besar besaran.

Memang sudah tuah badan apabila pasangan yang paling mendapat perhatian ramai di persada seni tanah ketika ini bakal diraikan dalam majlis resepsi besar-besaran bernilai lebih RM12 juta sekali gus diangkat sebagai ‘Wedding of The Year.’

Majlis resepsi bertemakan Rafflesia Pearl Wedding dan mengetengahkan konsep New York ini akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September depan.


Secara peribadi, Norman nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 35, mengakui dia sendiri berasa takut apabila pihak Rafflesia bakal meraikan mereka dalam majlis resepsi sehebat itu di ibu kota.



“Sebenarnya, saya dan Memey menjangkakan majlis perkahwinan yang sederhana saja selepas pelbagai ujian dilalui dalam hubungan kami sebelum ini.

“Saya anggap diri kami ‘kerdil’ untuk mendapat penghargaan dari hujung rambut hingga hujung kaki seperti itu.

“Namun, selepas berbincang Bill Bora (mewakili Rafflesia) tiga minggu lalu, kami melihat penghargaan yang diterima ini menguntungkan kedua-dua pihak.

“Maklumlah, saya dan Memey banyak bekerjasama dalam pelbagai majlis anjuran Rafflesia sebelum ini,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, baru-baru ini.

Hadir sama, barisan penaja majlis resepsi mereka iaitu Winnie Sin (mewakili Rafflesia), Profesor Datuk Dr Jimmy Choo, Lee Lee Loh, Kenny Loh (Lord’s Tailor), Snips dan wakil dari Hotel Crowne Plaza Mutiara sendiri.

Ditanya siapa artis yang bakal menjadi pengapit, Norman berkata, ia masih dalam perbincangan.

“Saya difahamkan, dua artis lelaki dan dua artis perempuan akan menjadi pengapit kami pada majlis resepsi itu nanti.

“Kami juga akan mengundang rakan artis yang rapat dengan kami berdua untuk sama-sama memeriahkan majlis,” katanya.

Ketika ditemui, Bill selaku perancang majlis perkahwinan itu berkata, Memey bakal menggayakan dua gaun bertatah mutiara yang berharga setiap satu RM500,000 untuk acara persandingan dan memotong kek perkahwinan.

“Memey juga bakal menggayakan dua kasut rekaan eksklusif Datuk Jimmy yang pernah mencipta kasut untuk mendiang Puteri Diana berharga lebih RM300,000 setiap satu dan dua set perhiasan jenama Rafflesia iaitu anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara bernilai RM5.6 juta.

“Tidak ketinggalan, majlis ini akan dihadiri kira-kira 200 tetamu membabitkan selebriti dan wakil media yang bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan antarabangsa,” katanya.


Majlis nikah di Johor tidak ditaja

TINGGAL dua bulan saja lagi, Norman dan Memey bakal diijabkabulkan di kediaman keluarga pihak perempuan selepas solat Asar di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor pada 24 September ini.

Ia disusuli dengan majlis persandingan di sana pada keesokan harinya, 25 September.

Berkongsi persiapan majlis majlis pernikahan di Johor, kata Memey atau pemilik nama sebenar Suhaiza Suihaimi, 23, dia dan Norman baru kembali dari Bandung, Indonesia sebagai persiapan mencari barangan untuk majlis perkahwinan mereka.

“Majlis ini juga tidak ditaja dan kami gunakan duit simpanan hasil pembabitan dalam bidang lakonan.

“Setakat ini, persiapan majlis pernikahan dan persandingan kami mendapat bantuan perancang majlis perkahwinan di Johor. Tidak ketinggalan, majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malamnya.

“Kami mengundang tetamu yang terdiri daripada penduduk kampung lebih 2,000 tetamu untuk sama-sama meraikan hari bersejarah ini.

“Saya memilih konsep moden dan ‘Garden Wedding’ pada hari pernikahan nanti dengan mengenakan gaun moden rona warna-warni,” katanya.

Kata Memey, dia juga sudah menghadiri kursus kahwin di Zura’s Akademik, Bangsar pada 9 Julai lalu.

“Dari segi kad undangan majlis di Kota Tinggi, ia mula diedarkan pada pihak media tempatan pada Ramadan nanti.

“Saya dan Norman juga terpaksa membahagikan masa untuk buat persiapan kahwin kerana masing-masing terbabit dalam bidang seni.

“Saya juga habiskan penggambaran program raya terlebih dulu kerana semua persiapan kahwin dari A hingga Z saya uruskan sendiri dengan bantuan keluarga di Johor,” katanya.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu, kata Norman, dia dan Memey belum memilih destinasi pilihan mereka lagi.

“Saya juga tidak tahu destinasi itu dalam atau luar negara kerana beri tumpuan pada persiapan majlis perkahwinan terlebih dulu,” katanya.

Diminta mengulas sama ada dia akan mengundang pelakon Abby Abadi ke majlis itu, kata Norman, bekas isterinya juga sudah tahu mengenai majlis mereka.

“Abby ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengucapkan tahniah pada saya.

“Insya-Allah, saya akan mengundangnya ke majlis kerana belum menghantar kad undangan secara rasmi padanya.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai bekas isteri kerana kami sudah ada haluan hidup masing-masing.

“Bagaimanapun, selepas saya dan Memey berkahwin, saya dan Abby tetap buat hak penjagaan tiga anak kami bersama-sama demi masa depan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails