SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Saturday, July 2, 2011

TAIWAN INGIN BALAS DENDAM

Ramai jurulatih mahupun pengurus pasukan bola sepak sering berkata, segala rekod lalu tidak akan bermakna di atas padang apabila tiba satu lagi perlawanan baru yang pastinya jauh berbeza dari segi masa dan keadaan mahupun barisan pemain.

Namun, kadangkala sejarah juga masih relevan dalam mematangkan seseorang dan mengayakan pengalamannya terutama pada saat-saat genting atau ketika dihantui tekanan tinggi seperti mana Harimau Malaya mengunjungi Taiwan di Stadium Perbandaran, Taipei, esok.

Rekod kalah 2-3 kepada Taiwan di Bangkok dalam kelayakan Piala Asia 2000, boleh dijadikan rujukan walaupun tiada siapa lagi pemain ketika itu yang masih berada dalam skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika ini.

Agak malang buat skuad 2000 bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kerana mereka dengan mudah membenam Taiwan 3-0 dalam perlawanan pertama di Shah Alam - situasi yang hampir sama dengan 'Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd. Razak' menewaskan negara pulau itu 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Berdasarkan pertemuan pertama di Stadium Nasional itu jugalah, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menegaskan betapa skuad Rajagobal tidak sesekali boleh mengulangi kelekaan dan aksi longlai yang mengakibatkan pelawat mudah beroleh gol tunggal menerusi Chen Po Liang.

"Aksi di Bukit Jalil membuktikan Taiwan sebuah pasukan yang mampu menyaingi Malaysia walaupun ketinggalan dua gol. Aset utama mereka ialah kepantasan menyerang balas. Pasukan kita kena sentiasa berwaspada dan jangan sampai tertekan dan buat silap sebegitu lagi sampai terlepas gol sebegitu.

"Malah, cukup jelas pada hari itu, Taiwan bermain lebih baik selepas merapatkan jurang gol justeru pasukan kita wajar bermain lebih baik dalam perlawanan kedua di Taipei," katanya yang turut menjadi pengulas bersama siaran langsung sebuah saluran TV swasta, Rabu lalu.

"Kita banyak menyerang ketika itu dan kadar gol yang secukupnya sebagai modal awal ke tempat lawan gagal dicapai setelah banyak peluang terlepas malah sampai terleka untuk bertahan daripada satu serangan balas lawan yang terus mendapat gol," jelasnya.

Razip turut mengakui, kelebihan satu gol dengan jaringan Safiq dan Aidil Zafuan di Bukit Jalil itu tidak akan mudah untuk dipertahankan di Stadium Perbandaran Taipei apatah lagi lawan mempunyai modal atas faktor peraturan gol di tempat lawan.

"Saya rasa, rombakan di barisan belakang pasukan kita juga tidak dapat dielakkan dan corak permainan terbuka bukan lagi satu pilihan yang menjadi keutamaan biarpun saya akui, satu gol kita di tempat lawan bakal menambah keyakinan pemain dan mencerahkan peluang kita," katanya.

Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Radzak, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, S. Kunanlan, Fadhli Shas, Abdul Hadi Yahya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails