KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2011: Dalam kesibukan membuat
persiapan persembahan minggu ke-8 Maharaja Lawak Mega (MLM), ahli kumpulan
Syok, Ifa Raziah terpaksa dikejarkan ke hospital Pantai Bangsar untuk menerima
rawatan, malam semalam.
Portal murai.com.my diberitahu, Ifa Raziah dilaporkan
terkena jangkitan virus di bahagian payudara sehingga membuatkan asetnya itu
membengkak dan keras seperti batu.
Ketika dihubungi, Ifa Raziah yang baru saja selesai
menjalani pembedahan ultra sound memberitahu, penderitaan penyakitnya itu sudah
pun dilalui sejak dia menyertai MLM.
"Sekarang ini, Ifa baru saja selesai menjalani ultra
sound. Ifa masih lagi menunggu jawapan daripada doktor. Mengikut makluman
doktor, terdapat virus dalam air di bahagian payudara Ifa yang membuatkan
bahagian berkenaan keras seperti batu.
"Selepas rawatan ini, doktor telah menasihati agar
menjalani pembedahan dalam kadar segera. Sepatutnya Ifa kena buang ketulan
membengkak itu dalam masa terdekat. Bagaimanapun disebabkan Ifa sibuk dengan
MLM, Ifa ketepikan seketika soal sakit ini.
"Apa sekalipun, Ifa harap janganlah peminat salah
sangka terhadap apa yang diberitahu ini. Ifa bukannya sakit disebabkan mahu
membuat pembedahan payudara untuk masukan silikon," katanya.
Dalam pada itu, Ifa sekeras-kerasnya menafikan dia disyaki
menderita sakit kanser payudara walaupun jauh di sudut hatinya takut mendengar
tentang kanser tersebut.
"Doktor telah memberitahu, sakit Ifa ini bukanlah
kanser payudara. Kalau kanser, pesakit tidak akan merasa sakit dan ianya akan
terus membunuh mangsa dalam diam. Pun begitu, Ifa tidak boleh menipu, dalam
hati Ifa, rasa takut terkena kanser itu ada bermain difikiran Ifa.
"Ianya kerana arwah ibu Ifa memang pernah sakit kanser
payudara. Jadi, peluang Ifa diserang kanser itu memang senang disebabkan
keturunan yang menderita sakit berkenaan. Ifa berharap, semua mendoakan yang
terbaik untuk Ifa. Semoga Ifa boleh teruskan perjuangan dalam MLM dan
seterusnya dalam bidang seni.
"Sejujurnya, Ifa bukannya mahu meraih simpati sesiapa.
Oleh itu, Ifa sebolehnya tidak mahu kecoh tentang sakit yang Ifa alami ini. Ifa
takut, orang ingat Ifa mahu cari publisiti murahan. Ifa dah sakit lebih sebulan
iaitu sejak mula-mula Ifa menyertai MLM lagi. Namun, Ifa tahan sakit ini
sendiri," jelasnya.
Portal murai.com.my berharap Ifa segera pulih dan boleh
meneruskan perjuangan dalam MLM dengan persembahan yang menghiburkan.
No comments:
Post a Comment