Seorang lelaki yang berhasrat untuk mendaftarkan namanya
sebagai pengundi terkejut apabila mendapati nombor kad pengenalannya telah
didaftarkan atas nama individu lain.
Lelaki berkenaan yang berusia 38 tahun dan kini menetap di
Petaling Jaya, Selangor berkata, sebaik beliau melakukan semakan di laman web
rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati nombor kad pengenalannya telah
didaftarkan sebagai pengundi di Kuala Krai, Kelantan.
Lebih menimbulkan tanda tanya apabila nama individu yang
tertera dalam senarai itu, dipaparkan sebagai Zulkifly Mohamed Yusof dan turut
meletakkan status jantinanya sebagai perempuan.
Perkara berkenaan didedahkan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay
Tiong, ekoran lelaki berkenaan ke Pejabat Pusat Perkhidmatan DAP Melaka
berhubung masalah itu.
Menurut Khoo, ketika semakan pada laman rasmi SPR, didapati
nombor kad pengenalan lelaki berkenaan didaftarkan sebagai seorang pengundi di
Kuala Krai, Kelantan, dengan menggunakan nama 'Zulkifly Mohamed Yusof,'
sedangkan lelaki itu mendakwa tidak pernah menetap di Kelantan.
"Apabila mendapati nombor kad pengenalan barunya telah
didaftarkan, kami memeriksa nombor kad pengenalan lamanya pula kerana
memikirkan ini mungkin satu kesilapan.
"Bagaimanapun, nombor kad pengenalan lamanya juga turut
didaftarkan atas nama orang berkenaan," katanya.
Khoo berkata, satu aduan rasmi telah dibuat semasa
pertemuannya dengan pegawai SPR Melaka bagi membolehkan SPR menyiasat perkara
berkenaan.
"SPR perlu menyiasat dan memperjelaskan bagaimana
perkara ini boleh berlaku.
"Pada masa sama, saya juga menyarankan kepada semua
pengundi berdaftar supaya memeriksa daftar pemilih yang terbaru bagi memastikan
nama mereka masih ada," katanya.
Sementara itu, seorang jurucakap SPR, ketika mengesahkan
laporan berkenaan, berkata, satu siasatan akan dijalankan sebelum sebarang
tindakan susulan diambil.
No comments:
Post a Comment