Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini
tidak mahu mengulas mengenai kemelut membabitkan (NFC) - sehari selepas beliau
menyampaikan ucapan yang berapi-api mengecam pengkritiknya berhubung isu
tersebut.
Dalam satu sidang akhbar hari ini selepas ucapan dasar
Presiden
Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan agung parti
itu, Shahrizat ditanya sama ada beliau turut terbabit dalam keputusan kabinet
meluluskan projek NFC.
Shahrizat mengangkat keningnya, menggelengkan sedikit
kepalanya serta menggerakkan tangan kanannya tanda beliau tidak mahu menjawab
soalan itu.
Sebaliknya, Shahrizat bercakap menyentuh ucapan dasar Najib
dan tergesa-gesa meninggalkan sidang akhbar, tanpa menjawab soalan seterusnya
dari pihak media.
Semalam, Shahrizat mengecam mereka yang menyerangnya dan
keluarganya berhubung projek NFC, yang dibangkitkan dalam Laporan 2010 Ketua
Audit Negara.
Projek tersebut telah diberikan kepada syarikat milik
keluarga Shahrizat pada tahun 2007 sewaktu pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi
ketika Shahrizat merupakan seorang menteri kabinet.
Dalam ucapannya di perhimpunan agung Wanita Umno semalam,
Shahrizat berkata beliau tidak ada kaitan dengan projek NFC itu.
Pengkritiknya, terutamanya PKR, mendakwa NFC menyalahgunakan
pinjaman RM250 juta, dengan membeli kondominium mewah dan membiayai perjalanan
ke luar negara.
Hanya beberapa jam selepas itu, PKR membuat tuduhan terbaru
terhadap NFC, dengan mendakwa syarikat itu menyalahgunakan dana untuk membeli
tanah di pusat pentadbiran Putrajaya dan sebuah kereta mewah.
No comments:
Post a Comment