SEJAK berkawan rapat dan bercinta, hubungan aktres Lisa
Surihani Mohamed, 25, dan pengarah, pelakon serta penyanyi terkenal Yusry Abdul
Halim, 37, menjadi perhatian media dan peminat.
Tidak sampai setahun mengulit cinta, pasangan itu telah
bersedia untuk mengikat ikatan perkahwinan antara mereka.
Selepas terbocor berita Yusry telah menempah Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk sebuah majlis pada bulan
Februari tahun hadapan, spekulasi perkahwinan pasangan ini mula muncul.
Lisa mengunci mulutnya dan menyerahkan segala jawapan kepada
Yusry. Bagaimanapun Yusry turut enggan menjawab segala pertanyaan mengenai
perkahwinan kerana sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom ketika itu.
Akhirnya, pada pagi Sabtu lalu Lisa dan Yusry telah
mengumumkan berita pernikahan mereka yang akan berlangsung pada 23 Februari
tahun hadapan pada sidang akhbar bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.
"Kami akan bernikah selepas Asar pada 23 Februari 2012
di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dan mengadakan majlis resepsi
kedua-dua belah pihak pada 26 Februari di PICC," kata Lisa.
YUSRY menyenangi sifat Lisa yang prihatin dan mencintai dia
sepenuh jiwa. Lisa juga menerima perhatian yang serupa dari Yusry.
Menurut Yusry, dia bukan sengaja untuk menyembunyikan hari
bahagianya daripada pengetahuan umum sebelum ini. Sebaliknya ketika khabar
angin perkahwinan mereka timbul, baik pihak Yusry mahupun Lisa belum ada
sebarang keputusan yang konkrit.
Namun, selepas majlis merisik berlangsung di rumah Lisa pada
malam Jumaat lalu (23 Disember), barulah Yusry berasa sesuai untuk umumkan
berita penting itu.
"Saya pernah cakap saya akan beritahu apabila tiba
masanya. Sekarang selepas merisik dan menghantar cincin tanda baru saya rasa
sesuai untuk umumkan tarikh perkahwinan kami.
"Sebelum ini, perbincangan secara rasmi antara keluarga
belum berlangsung, saya sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom sebab itu
saya berdiam diri, bukannya ingin menyembunyikan hal sebenar," balasnya
yang baru sahaja menamatkan penggambaran filem Vikingdom pada 20 Disember lalu.
Bercakap mengenai tarikh 23 Februari yang dipilih sebagai
tarikh keramat dalam kehidupan mereka, ujar Yusry tarikh itu dipilih simbolik
kepada tarikh lahir Lisa yang jatuh pada 23 Mac tambahan mereka juga mempunyai
kelapangan waktu itu.
"Kami amat berhati-hati ketika memilih tarikh
pernikahan kerana jika kami buat 25 Disember orang kata kami nak sambut
Krismas, kalau 14 Februari macam nak sambut Valentine.
"Kebetulan Lisa akan mula penggambaran filem Ular pada
3 Januari depan dan tarikh 23 Februari elok buat kami berdua mempunyai
kelapangan selain simbolik kepada tarikh hari lahir Lisa," kata Yusry.
Saling melengkapi
Bercakap mengenai rancangan perkahwinan, Yusry dan Lisa
sama-sama menegaskan sejak awal hubungan lagi, mereka telah bertanya antara
satu sama lain apa yang dicari dalam sebuah hubungan.
"Lisa memberitahu dia memang sudah bersedia untuk
berkahwin pada usia 24 tahun dan saya begitu juga sebab itu pada awal hubungan
kami ada sebut bahawa hubungan kami adalah hubungan yang matang.
"Maknanya bukan sekadar untuk bercinta atau memenuhi
masa lapang sebaliknya, kami sama-sama mempunyai tujuan iaitu mengakhirinya
dengan ikatan perkahwinan," ujar Yusry sambil dipersetujui Lisa.
Mengenali Lisa, jiwa lelaki Yusry yang hidup tanpa suri
lebih lima tahun selepas bercerai dengan aktres dan penyanyi popular Erra
Fazira kembali berbunga.
"Saya menyayangi dia sepenuh jiwa, begitu juga dengan
dia menyayangi saya. Saya rasa lebih tenang walaupun berada dalam keadaan yang
tertekan apabila dia ada di sisi saya," akui Yusry jujur.
CINCIN di jari manis Lisa tanda sudah ditempah Yusry.
Lisa pula memberitahu hakikat sebenarnya dia fobia untuk
menjalinkan hubungan sesama artis. Bagaimanapun dia begitu tertarik dan jatuh
cinta dengan Yusry selepas mengenali salah seorang trio kumpulan KRU itu dengan
lebih dekat selepas setahun hanya berkomunikasi menerusi Blackberry Messenger
(BBM).
"Sebelum ini sebagai kawan di BBM, dia pernah ajak
keluar tetapi saya fobia hubungan cinta antara artis dan saya tolak ajakannya.
Dia hormat saya dan kami berkawan seperti biasa.
"Tipulah kalau saya cakap saya tidak minat kumpulan
KRU, selepas mengenalinya secara peribadi ternyata dia seorang lelaki yang
sopan, merendah diri dan ikhlas berkawan dengan saya," terang Lisa yang
merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.
Impian perkahwinan
Jika sudah namanya artis sudah tentu majlis perkahwinannya
gilang gemilang, tetapi tidak bagi Yusry dan Lisa. Masing-masing mengambil
pendekatan mengadakan majlis secara ringkas dan sederhana sahaja.
"Saya tidak pernah berangan mahu pakai baju itu dan
ini, majlis saya mesti berkonsep taman atau apa sahaja, kerana bagi saya yang
paling penting adalah majlis akad nikah itu yang wajib.
"Majlis resepsi saya lebih suka bersederhana dan buat
masa sekarang ini kami tidak memikirkan sebarang konsep atau warna tema.
Persiapan yang dibuat hanyalah tempahan PICC dan masjid yang lain baru hendak
bermula," kata Lisa.
Disoal cukupkah masanya untuk melakukan persiapan dalam masa
dua bulan sedangkan sepanjang Januari Lisa akan sibuk di penggambaran filem Ular.
"Persiapan itu dilakukan bersama dan kami ada orang
yang membantu selain keluarga. Rasanya tidak ada sebarang masalah. Kerja tetap
harus diteruskan seperti biasa," bicaranya.
Apabila ditanya mengenai hak tayangan majlis perkahwinan
mereka di stesen televisyen kononnya akan disiarkan di Astro, Yusry dan Lisa
menyerahkan perkara itu pada pihak pengurusan masing-masing.
"Setakat hari ini belum ada sebarang keputusan muktamad
mengenainya, perkara itu diserahkan kepada pihak pengurusan tetapi harus
mendapat persetujuan daripada kami berdua. Jika kami tidak setuju perkara itu
tidak akan berlaku," kata pengarah filem Merong Mahawangsa itu lagi,
Mengenai hal tajaan, kedua-dua mereka berfikiran terbuka
mengenai hal itu dan menerimanya selagi ia tidak mengganggu keluarga serta
perjalanan majlis perkahwinan mereka.
"Bab tajaan ini, saya tidak kisah andai ada yang ingin
membantu tetapi dengan syarat ia tidak menganggu keluarga dan majlis
kami," jawab Yusry yang membenarkan Lisa terus bekerja sebagai pelakon
selepas berkahwin kelak.
No comments:
Post a Comment