KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2011: Saling mengenali dan selesa
antara satu sama lain, membuatkan hubungan persahabatan penyanyi rock, Awie dan
Ella kekal lama.
Mengimpikan untuk bersatu di atas pentas bersama, impian
Awie dan Ella bakal terlaksana menerusi konsert Awie & Ella (Raja &
Ratu Rock Malaysia) yang akan diadakan pada 12 hingga 15 Januari depan di
Istana Budaya (IB).
Jelas Awie, keserasian antara mereka berdua adalah antara
penyebab dia menerima idea gandingan yang ditimbulkan oleh penganjur konsert
iaitu Tall Order Productions.
"Saya menerima idea penganjur untuk menggandingkan
kami, kerana Ella antara artis yang cukup saya hormati. Memang kami sangat
rapat dan cukup serasi. Kerana itu juga, memudahkan saya untuk bekerjasama
dengannya," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Awie
& Ella (Raja & Ratu Rock Malaysia) di IB, semalam.
Turut hadir pada majlis sidang media berkenaan ialah
Timbalan Ketua Pengarah IB, Nik Kamarulzaman Nik Husin dan Pengarah Urusan
& Pengarah Kreatif, Tall Order Productions, Hans Isaac.
Bakal mendendangkan lagu-lagu popular masing-masing, Awie
turut menjanjikan suasana cinta antara mereka berdua akan wujud di pentas IB
kelak.
"Kami akan mendendangkan lagu secara solo dan juga
berduet bersama. Apa yang pasti , kebanyakan lagu kami adalah lagu cinta, jadi
kami akan pastikan aura cinta dapat dicetuskan di pentas itu nanti,"katanya
sambil ketawa.
Sementara itu, kata Ella, peluang beraksi di atas pentas
bersama Awie merupakan satu penghargaan dan detik indah yang bakal menjadi
sejarah buat dirinya dan peminat.
"Dia sangat istimewa. Malah peluang untuk beraksi
bersamanya di IB nanti, merupakan satu detik indah buat saya. Saya akan
menjanjikan sebuah persembahan yang menarik dan pastinya akan menjadi sejarah
buat kita semua,"kata Ella.
Tambah Ella, pemilihan lagu masih lagi dibuat bagi
memastikan peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan mereka kelak.
Tiket serendah RM 40 sehingga RM 450 telah dijual dan bagi
yang berminat bolehlah melayari http://www.ticket2U,biz atau menghubungi di
talian 03-41478600.
No comments:
Post a Comment