ADA artis yang sudah popular tapi masih bertahan sampai hari
ini kerana sentiasa bersikap profesional, berdisiplin serta menjalin hubungan
yang baik dengan media terutama yang banyak membantunya selama ini.
Tapi ada pula segelintir artis yang mula bersikap tidak
profesional, bermasalah dan memperlekehkan tugas media apabila namanya sudah
dikenali ramai.
Itulah yang boleh SS gambarkan mengenai artis wanita seorang
ini. Sebelum popular, layanannya pada wartawan sangat baik dan ramah. Bila
sudah
popular, sikapnya berubah.
Itulah yang dialami rakan SS yang mengenali artis ini ketika
baru hendak membina tapak dalam dunia seni hinggalah kini antara pelakon
menjadi buruan pengarah.
Terbaru, artis ini dipilih menjayakan satu pementasan teater
untuk watak utama dan pihak produksi mengaturkan fotografi untuk promosi teater
itu. Kata rakan SS, jelas kelihatan ‘mood’ pelakon ini yang mula berubah ketika
diambil gambarnya.
Artis ini juga pandai memberi arahan pada jurugambar untuk
digandingkan dirinya dengan pelakon lelaki yang bukan watak utama. Bila rakan
SS tidak setuju gandingan itu, dia buat muka’ protes. Rakan SS buat tak nampak
saja perlakuan artis berkenaan kerana tidak ingin memburukkan keadaan yang
sedia tegang ketika itu.
Dalam hal ini, SS ingin berfikiran positif, mungkin artis
itu penat dan tidak cukup rehat sebab itu dia mula buat kerenah. Maklumlah,
mereka sibuk menjayakan sesi latihan teater berkenaan yang bakal dipentaskan
tidak lama lagi.
Rakan SS juga faham kerana artis itu perlu menjayakan satu
lagi sesi fotografi dengan satu lagi media yang sudah menunggu giliran. Kerana
tidak mahu menyusahkannya, rakan SS buat keputusan tidak menemubualnya pada
hari itu, sebaliknya berjanji menghubunginya nanti. Ia juga dipersetujui artis
itu.
Keesokan harinya, rakan SS pun menghubungi telefon bimbit
artis itu beberapa kali tapi tidak berjawab. Tidak cukup dengan itu, rakan SS
juga menghantar SMS padanya dan satu pun tidak dibalas.
SS bimbang kerana cerita mengenai pementasan itu perlu
disiarkan segera. Terpaksalah SS meminta bantuan bahagian promosi pementasan
menghubungi artis itu dan panggilan mereka juga tidak berjawab.
Pihak promosi juga memberitahu artis wanita itu memang bermasalah
dan dia juga selalu tidak datang latihan teater hingga menyusahkan produksi.
SS harap, artis wanita dimaksudkan itu kikislah sifat buruk
itu kerana ia boleh merosakkan masa depan anda sendiri dalam bidang seni.
No comments:
Post a Comment