Thursday, December 15, 2011

ARTIS MALAYSIA BERUBAH SIKAP SELEPAS POPULAR



         
ADA artis yang sudah popular tapi masih bertahan sampai hari ini kerana sentiasa bersikap profesional, berdisiplin serta menjalin hubungan yang baik dengan media terutama yang banyak membantunya selama ini.

Tapi ada pula segelintir artis yang mula bersikap tidak profesional, bermasalah dan memperlekehkan tugas media apabila namanya sudah dikenali ramai.
Itulah yang boleh SS gambarkan mengenai artis wanita seorang ini. Sebelum popular, layanannya pada wartawan sangat baik dan ramah. Bila sudah
popular, sikapnya berubah.

Itulah yang dialami rakan SS yang mengenali artis ini ketika baru hendak membina tapak dalam dunia seni hinggalah kini antara pelakon menjadi buruan pengarah.

Terbaru, artis ini dipilih menjayakan satu pementasan teater untuk watak utama dan pihak produksi mengaturkan fotografi untuk promosi teater itu. Kata rakan SS, jelas kelihatan ‘mood’ pelakon ini yang mula berubah ketika diambil gambarnya.

Artis ini juga pandai memberi arahan pada jurugambar untuk digandingkan dirinya dengan pelakon lelaki yang bukan watak utama. Bila rakan SS tidak setuju gandingan itu, dia buat muka’ protes. Rakan SS buat tak nampak saja perlakuan artis berkenaan kerana tidak ingin memburukkan keadaan yang sedia tegang ketika itu.

Dalam hal ini, SS ingin berfikiran positif, mungkin artis itu penat dan tidak cukup rehat sebab itu dia mula buat kerenah. Maklumlah, mereka sibuk menjayakan sesi latihan teater berkenaan yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.

Rakan SS juga faham kerana artis itu perlu menjayakan satu lagi sesi fotografi dengan satu lagi media yang sudah menunggu giliran. Kerana tidak mahu menyusahkannya, rakan SS buat keputusan tidak menemubualnya pada hari itu, sebaliknya berjanji menghubunginya nanti. Ia juga dipersetujui artis itu.

Keesokan harinya, rakan SS pun menghubungi telefon bimbit artis itu beberapa kali tapi tidak berjawab. Tidak cukup dengan itu, rakan SS juga menghantar SMS padanya dan satu pun tidak dibalas.

SS bimbang kerana cerita mengenai pementasan itu perlu disiarkan segera. Terpaksalah SS meminta bantuan bahagian promosi pementasan menghubungi artis itu dan panggilan mereka juga tidak berjawab.

Pihak promosi juga memberitahu artis wanita itu memang bermasalah dan dia juga selalu tidak datang latihan teater hingga menyusahkan produksi.

SS harap, artis wanita dimaksudkan itu kikislah sifat buruk itu kerana ia boleh merosakkan masa depan anda sendiri dalam bidang seni.

No comments:

Post a Comment