Sunday, December 18, 2011

PAYU DARA IFA RAZIAH DISERANG VIRUS



KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2011: Dalam kesibukan membuat persiapan persembahan minggu ke-8 Maharaja Lawak Mega (MLM), ahli kumpulan Syok, Ifa Raziah terpaksa dikejarkan ke hospital Pantai Bangsar untuk menerima rawatan, malam semalam.

Portal murai.com.my diberitahu, Ifa Raziah dilaporkan terkena jangkitan virus di bahagian payudara sehingga membuatkan asetnya itu membengkak dan keras seperti batu.

Ketika dihubungi, Ifa Raziah yang baru saja selesai menjalani pembedahan ultra sound memberitahu, penderitaan penyakitnya itu sudah pun dilalui sejak dia menyertai MLM.

"Sekarang ini, Ifa baru saja selesai menjalani ultra sound. Ifa masih lagi menunggu jawapan daripada doktor. Mengikut makluman doktor, terdapat virus dalam air di bahagian payudara Ifa yang membuatkan bahagian berkenaan keras seperti batu.

"Selepas rawatan ini, doktor telah menasihati agar menjalani pembedahan dalam kadar segera. Sepatutnya Ifa kena buang ketulan membengkak itu dalam masa terdekat. Bagaimanapun disebabkan Ifa sibuk dengan MLM, Ifa ketepikan seketika soal sakit ini.

"Apa sekalipun, Ifa harap janganlah peminat salah sangka terhadap apa yang diberitahu ini. Ifa bukannya sakit disebabkan mahu membuat pembedahan payudara untuk masukan silikon," katanya.

Dalam pada itu, Ifa sekeras-kerasnya menafikan dia disyaki menderita sakit kanser payudara walaupun jauh di sudut hatinya takut mendengar tentang kanser tersebut.

"Doktor telah memberitahu, sakit Ifa ini bukanlah kanser payudara. Kalau kanser, pesakit tidak akan merasa sakit dan ianya akan terus membunuh mangsa dalam diam. Pun begitu, Ifa tidak boleh menipu, dalam hati Ifa, rasa takut terkena kanser itu ada bermain difikiran Ifa.

"Ianya kerana arwah ibu Ifa memang pernah sakit kanser payudara. Jadi, peluang Ifa diserang kanser itu memang senang disebabkan keturunan yang menderita sakit berkenaan. Ifa berharap, semua mendoakan yang terbaik untuk Ifa. Semoga Ifa boleh teruskan perjuangan dalam MLM dan seterusnya dalam bidang seni.

"Sejujurnya, Ifa bukannya mahu meraih simpati sesiapa. Oleh itu, Ifa sebolehnya tidak mahu kecoh tentang sakit yang Ifa alami ini. Ifa takut, orang ingat Ifa mahu cari publisiti murahan. Ifa dah sakit lebih sebulan iaitu sejak mula-mula Ifa menyertai MLM lagi. Namun, Ifa tahan sakit ini sendiri," jelasnya.

Portal murai.com.my berharap Ifa segera pulih dan boleh meneruskan perjuangan dalam MLM dengan persembahan yang menghiburkan.

No comments:

Post a Comment