SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Sunday, November 27, 2011

CIKGU SHIDA DISERBU


AKSINYA cukup bersahaja dan selamba. Biarpun ada senyuman sinis dilontarkan kepadanya, dia tidak mengambil peduli, bahkan terus mempersembahkan ‘lagunya’ mengikut gaya tersendiri.

Lengkap dengan pakaian dan aksesori yang dikenakan bersesuaian dengan lagu, ‘ratu miming’, Cikgu Shida terus mencuri perhatian pengunjung Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) di Dataran Millenium, Kepala Batas, hujung minggu lalu.


Auranya bagaikan terasa apabila sebaik saja pengacara mengumumkan dia akan muncul di gerai Metro Ahad (MA) dalam masa sejam, sudah ada pengunjung terpacak di depan gerai.

Tidak kurang juga pengunjung asyik berulang-alik dan bertanya bila cikgu yang popular dengan video mimingnya di laman Youtube itu akan muncul. Begitu hebatnya penangan Cikgu Shida.


Tiba di gerai MA dengan penampilan ringkas, dia kemudian mengenakan pelbagai pakaian mengikut kesesuaian lagu dipersembahkan.


Biarpun matahari terik membakar kulit, rata-rata pengunjung tidak berganjak untuk melihat gaya Cikgu Shida yang sebelum ini hanya dilihat menerusi Youtube.

Mempersembahkan empat lagu termasuk lagu yang mendapat jumlah penonton paling ramai di Youtube iaitu Kalau Berpacaran yang dipopularkan oleh Suhaimi Meor Hassan, Altimet dan Ana Rafalli, pengunjung terhibur dengan aksi gila-gila Cikgu Shida.


Lebih mencuit hati, ada juga pengunjung dengan selamba menyertainya dan mempamerkan pelbagai aksi ketika mempersembahkan lagu berkenaan, sekali gus mengundang tawa pengunjung lain.

Katanya, KGHM adalah platform baginya untuk bertemu peminat secara lebih mesra yang selama ini hanya berinteraksi melalui laman sosial Facebook dan Youtube.


“Pengunjung di sini (Kepala Batas) ‘sporting’ kerana mereka tidak segan silu menyertai saya untuk miming bersama-sama. Seronok tengok mereka.


“Walaupun cuaca panas membahang, mereka tetap bersemangat dan sanggup berdiri di tengah panas untuk menonton persembahan di gerai ini dan saya sangat menghargainya,” katanya.


Melihat sambutan pengunjung, jelas terbukti guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah, Parit ini mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.


Pada awal kemunculannya, dia sering dicela, dikutuk dan tidak kurang juga mencemuhnya sehingga mengatakan dia menjatuhkan profesion perguruan.


Hati mana tidak terusik apabila dilontarkan kata-kata yang tidak sedap didengar, namun dia menganggapnya ibarat angin lalu yang tidak sedikitpun menjadi kudis.


“Bohonglah kalau saya katakan saya tidak terasa hati kerana tohmahan itu bukan hanya dilemparkan oleh orang luar, tetapi juga rakan sekerja.


“Bagaimanapun, saya tidak mengendahkan kata-kata mereka kerana apa yang saya lakukan ini adalah untuk mengisi masa terluang di samping menghiburkan hati,” katanya.


Cikgu Shida turut meluahkan rasa terkilannya apabila video miming lagu Kalau Berpacaran yang dimuat naik di laman Youtube sehingga mencecah sejuta pengunjung itu digodam sehingga menyebabkan video itu ‘lenyap’ daripada laman berkenaan.


Menurutnya, video berkenaan antara video kesayangannya dan apabila digodam dia berasa sedih, lebih-lebih lagi apabila video itulah yang ‘memperkenalkan’ dirinya.


Selain Cikgu Shida, gerai MA membawa persembahan sukan ekstrem, Madhop yang semakin dikenali di kalangan golongan muda.


Memakai kostum berwarna kuning dan merah, kelibat mereka boleh dilihat dari jauh dan aksi mereka melompat tinggi menarik perhatian pengunjung.


Malah, ada pengunjung berani mencuba memakai peralatan Madhop biarpun sebelum ini tidak pernah melihatnya. Walaupun ada yang jatuh tersungkur, ia tidak sedikit pun meleburkan rasa ingin mencuba.


Mengagumkan apabila ramai pengunjung mampu berjalan sendiri menggunakan Madhop hanya dalam masa lima minit diajar cara memakainya.


Bekas peserta Raja Lawak (RL) musim ketiga, Amer dan Aur (RL5) diberi tanggungjawab untuk membuat ‘kecoh’ bagi menarik perhatian pengunjung ke gerai MA.


Sepanjang dua hari KGHM berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan di gerai MA seperti permainan dart yang menawarkan hadiah menarik seperti baju T eksklusif Harian Metro dan hadiah lain sumbangan Felda Best, Bio-Haruan, tudung daripada butik Ratu, buku PTS, Jamu Mak Dara dan Citra Computing Network.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails