SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Monday, December 26, 2011

YUSRI KRU DAN LISA SURIHANI BAKAL BERKAHWIN




SEJAK berkawan rapat dan bercinta, hubungan aktres Lisa Surihani Mohamed, 25, dan pengarah, pelakon serta penyanyi terkenal Yusry Abdul Halim, 37, menjadi perhatian media dan peminat.

Tidak sampai setahun mengulit cinta, pasangan itu telah bersedia untuk mengikat ikatan perkahwinan antara mereka.

Selepas terbocor berita Yusry telah menempah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk sebuah majlis pada bulan Februari tahun hadapan, spekulasi perkahwinan pasangan ini mula muncul.

Lisa mengunci mulutnya dan menyerahkan segala jawapan kepada Yusry. Bagaimanapun Yusry turut enggan menjawab segala pertanyaan mengenai perkahwinan kerana sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom ketika itu.

Akhirnya, pada pagi Sabtu lalu Lisa dan Yusry telah mengumumkan berita pernikahan mereka yang akan berlangsung pada 23 Februari tahun hadapan pada sidang akhbar bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.

"Kami akan bernikah selepas Asar pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dan mengadakan majlis resepsi kedua-dua belah pihak pada 26 Februari di PICC," kata Lisa.


YUSRY menyenangi sifat Lisa yang prihatin dan mencintai dia sepenuh jiwa. Lisa juga menerima perhatian yang serupa dari Yusry.

Menurut Yusry, dia bukan sengaja untuk menyembunyikan hari bahagianya daripada pengetahuan umum sebelum ini. Sebaliknya ketika khabar angin perkahwinan mereka timbul, baik pihak Yusry mahupun Lisa belum ada sebarang keputusan yang konkrit.

Namun, selepas majlis merisik berlangsung di rumah Lisa pada malam Jumaat lalu (23 Disember), barulah Yusry berasa sesuai untuk umumkan berita penting itu.

"Saya pernah cakap saya akan beritahu apabila tiba masanya. Sekarang selepas merisik dan menghantar cincin tanda baru saya rasa sesuai untuk umumkan tarikh perkahwinan kami.

"Sebelum ini, perbincangan secara rasmi antara keluarga belum berlangsung, saya sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom sebab itu saya berdiam diri, bukannya ingin menyembunyikan hal sebenar," balasnya yang baru sahaja menamatkan penggambaran filem Vikingdom pada 20 Disember lalu.

Bercakap mengenai tarikh 23 Februari yang dipilih sebagai tarikh keramat dalam kehidupan mereka, ujar Yusry tarikh itu dipilih simbolik kepada tarikh lahir Lisa yang jatuh pada 23 Mac tambahan mereka juga mempunyai kelapangan waktu itu.

"Kami amat berhati-hati ketika memilih tarikh pernikahan kerana jika kami buat 25 Disember orang kata kami nak sambut Krismas, kalau 14 Februari macam nak sambut Valentine.

"Kebetulan Lisa akan mula penggambaran filem Ular pada 3 Januari depan dan tarikh 23 Februari elok buat kami berdua mempunyai kelapangan selain simbolik kepada tarikh hari lahir Lisa," kata Yusry.

Saling melengkapi

Bercakap mengenai rancangan perkahwinan, Yusry dan Lisa sama-sama menegaskan sejak awal hubungan lagi, mereka telah bertanya antara satu sama lain apa yang dicari dalam sebuah hubungan.

"Lisa memberitahu dia memang sudah bersedia untuk berkahwin pada usia 24 tahun dan saya begitu juga sebab itu pada awal hubungan kami ada sebut bahawa hubungan kami adalah hubungan yang matang.

"Maknanya bukan sekadar untuk bercinta atau memenuhi masa lapang sebaliknya, kami sama-sama mempunyai tujuan iaitu mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan," ujar Yusry sambil dipersetujui Lisa.

Mengenali Lisa, jiwa lelaki Yusry yang hidup tanpa suri lebih lima tahun selepas bercerai dengan aktres dan penyanyi popular Erra Fazira kembali berbunga.

"Saya menyayangi dia sepenuh jiwa, begitu juga dengan dia menyayangi saya. Saya rasa lebih tenang walaupun berada dalam keadaan yang tertekan apabila dia ada di sisi saya," akui Yusry jujur.


CINCIN di jari manis Lisa tanda sudah ditempah Yusry.

Lisa pula memberitahu hakikat sebenarnya dia fobia untuk menjalinkan hubungan sesama artis. Bagaimanapun dia begitu tertarik dan jatuh cinta dengan Yusry selepas mengenali salah seorang trio kumpulan KRU itu dengan lebih dekat selepas setahun hanya berkomunikasi menerusi Blackberry Messenger (BBM).

"Sebelum ini sebagai kawan di BBM, dia pernah ajak keluar tetapi saya fobia hubungan cinta antara artis dan saya tolak ajakannya. Dia hormat saya dan kami berkawan seperti biasa.

"Tipulah kalau saya cakap saya tidak minat kumpulan KRU, selepas mengenalinya secara peribadi ternyata dia seorang lelaki yang sopan, merendah diri dan ikhlas berkawan dengan saya," terang Lisa yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

Impian perkahwinan

Jika sudah namanya artis sudah tentu majlis perkahwinannya gilang gemilang, tetapi tidak bagi Yusry dan Lisa. Masing-masing mengambil pendekatan mengadakan majlis secara ringkas dan sederhana sahaja.

"Saya tidak pernah berangan mahu pakai baju itu dan ini, majlis saya mesti berkonsep taman atau apa sahaja, kerana bagi saya yang paling penting adalah majlis akad nikah itu yang wajib.

"Majlis resepsi saya lebih suka bersederhana dan buat masa sekarang ini kami tidak memikirkan sebarang konsep atau warna tema. Persiapan yang dibuat hanyalah tempahan PICC dan masjid yang lain baru hendak bermula," kata Lisa.

Disoal cukupkah masanya untuk melakukan persiapan dalam masa dua bulan sedangkan sepanjang Januari Lisa akan sibuk di penggambaran filem Ular.

"Persiapan itu dilakukan bersama dan kami ada orang yang membantu selain keluarga. Rasanya tidak ada sebarang masalah. Kerja tetap harus diteruskan seperti biasa," bicaranya.

Apabila ditanya mengenai hak tayangan majlis perkahwinan mereka di stesen televisyen kononnya akan disiarkan di Astro, Yusry dan Lisa menyerahkan perkara itu pada pihak pengurusan masing-masing.



"Setakat hari ini belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya, perkara itu diserahkan kepada pihak pengurusan tetapi harus mendapat persetujuan daripada kami berdua. Jika kami tidak setuju perkara itu tidak akan berlaku," kata pengarah filem Merong Mahawangsa itu lagi,

Mengenai hal tajaan, kedua-dua mereka berfikiran terbuka mengenai hal itu dan menerimanya selagi ia tidak mengganggu keluarga serta perjalanan majlis perkahwinan mereka.

"Bab tajaan ini, saya tidak kisah andai ada yang ingin membantu tetapi dengan syarat ia tidak menganggu keluarga dan majlis kami," jawab Yusry yang membenarkan Lisa terus bekerja sebagai pelakon selepas berkahwin kelak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails