SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Friday, June 24, 2011

BARANG 1 MALAYSIA MURAH

Dalam keadaan warga kota yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barangan, Kedai Rakyat 1Malaysia yang dirasmikan perdana menteri semalam dilihat sebagai satu peluang kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan pada harga yang lebih rendah.

Namun, keyakinan pengguna terhadap kualiti barangan berjenama 1Malaysia itu setakat ini masih belum dapat dipastikan kerana ia masih belum dicuba oleh pembeli.

Tinjauan Malaysiakini ke kedai itu di stesen LRT Kelana Jaya semalam mendapati, orang ramai mula mengunjungi kedai tersebut seawal jam 11 pagi lagi dan keadaan kedai berkenaan mulai sesak menjelang jam 12 tengahari.

Antara tarikan kedai berkenaan ialah harga yang murah bagi barangan keperluan pengguna tertentu yang ditawarkan di situ, seperti beras, minyak dan susu tepung.

Produk berkenaan dijual dalam bungkusan tertera logo1Malaysia yang dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding produk berjenama lain di dalam kedai berkenaan.

Kedai kecil

Seorang pelanggan, Zafirul Wahab, berpendapat, harga barangan di kedai tersebut adalah murah namun jumlah barangan di kedai berkenaan agak terhad kerana saiz kedainya yang kecil.

“Harga boleh tahanlah rendah cuma produk terhad. Dari segi bungkusan memang menarik, tapi kualiti tidak tahulah,” katanya Zafirul, 33.

Beliau yang turut membeli sebanyak 20 botol air mineral daripada kedai berkenaan juga berkata beliau menghadapi kesulitan untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan untuk ke kedai berkenaan.

“Agak susah untuk parkir kereta. Saya kena pusing beberapa kali, kena guna 'Touch n Go' semula baru boleh masuk. Kalau boleh tambah cawangan (Kedai Rakyat 1Malaysia),” katanya.

Selain itu, seorang lagi pelanggan, Alice Chang berkata beliau perlu mencuba produk yang baru dibeli dari kedai tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada untuk berkunjung lagi ke kedai tersebut.

“Mesti mahu cuba dahulu. Harga bolehlah (murah). Mesti tengok kualiti dia (barangan) baru boleh cakap. Mesti mahu cuba kualiti dahulu baru boleh tahu boleh datang lagi ke tidak,” kata Alice, 58.

Tak menang tangan

Sementara itu, seorang petugas kedai berkenaan, Nuriah Mat Salleh, 20, berkata kadar harga yang ditetapkan itu membolehkan pengguna berpendapatan rendah membuat pilihan.

Katanya, sejak kedai itu dibuka semalam pelanggan berpusu-pusu mengunjungi kedai berkenaan sehingga kakitangan berkenaan tidak menang tangan.

Malah, kedai berkenaan terpaksa 'meminjam' kakitangan daripada syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd yang mengendalikan kedai berkenaan, kata Nuriah lagi.

Salah seorang pelanggan yang ditemui, Fatimah Yaacob, 56, (kiri) mengakui bahawa harga barangan di kedai tersebut lebih murah berbanding kedai lain.

Namun, beliau berpendapat kedai berkenaan terlalu kecil untuk menampung jumlah pelanggan pada satu-satu masa.

“Harganya murah, bolehlah. Mungkin juga akan datang lagi. Kalau harga kurang, memang akan datang lagi... (Tapi) kedai ini kecil sangat, cuba besarkan lagi," katanya yang mengetahui mengenai pelancaran kedai tersebut sejak semalam.

Parkir terhad

Tinjauan Malaysiakini turut mendapati, kawasan kedai berkenaan turut dipenuhi longgokan stok barangan yang masih belum disusun.

Diperhatikan, keadaan ini menimbulkan kesesakan untuk orang ramai bergerak di dalam kedai berkenaan yang hanya boleh dipenuhi sekitar 30 orang untuk satu-satu masa.

Kedai berkenaan yang terletak betul-betul di pintu utama stesen LRT Kelana Jaya dilihat mudah untuk dikunjungi pengguna yang dihubungkan dengan jaringan pengangkutan awam di situ.

Namun, bagi pengguna yang berkereta, lokasi kedai berkenaan menyulitkan mereka kerana stesen berkenaan tidak dilengkapi dengan tempat letak kereta yang mencukupi.

Beberapa orang pengguna berkenaan berpendapat, kedai berkenaan sepatutnya mudah dikunjungi oleh pengguna berkenderaan persendirian dan bukannya pengguna LRT sahaja.

"Pertama kali datang tengok Parkir di sini sangat susah. (Saya) datang naik kereta kalau LRT tak apa," katanya Leong Wei Meng, 40.

Demikian juga keluhan seorang lagi pelanggan yang berpendapat bahawa kedai berkenaan perlu diperluaskan ke kawasan lain yang menjadi tumpuan penduduk.

Tambah cawangan

Angeline Mutu, 30, berkata kedai yang terletak di stesen LRT Kelana Jaya itu dikhuatiri tidak dapat menampung jumlah pelanggannya dan kawasan itu juga tidak disediakan dengan tempat letak kereta yang mencukupi.

"Parkir sini sangat susah, saya datang naik kereta. parkir sebelah jalan sana sebab parkir tak ada. Kalau parkir depan jalan nanti kena saman. Parkir dalam pun tidak boleh masuk kerana itu parkir untuk pekerja sahaja," katanya yang tidak begitu berpuas hati dengan harga barangan di kedai berkenaan.

Angeline berkata, harga barangan yang tidak berjenama 1Malaysia tetap dijual dengan harga sama seperti di kedai lain.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails