TINGKAH laku dan sikap seorang wanita muslimah yang
berhijab, menyempurnakan rukun Islam dan baru saja tamat pengajian di
universiti Islam akan sempurna daripada segala sisinya, apatah lagi sebagai
insan biasa sudah pasti banyak kekurangannya.
Siapa kata wanita berhijab semuanya sempurna?
Pada mulanya wanita cantik itu lokek senyuman dengan orang
lain, walaupun sangat manis dan beradab ketika bersama dengan keluarga dan
orang yang dekat dengannya. Namun, di sisi lain dia langsung tidak memberikan
seulas senyuman kepada orang lain terutama jejaka yang tiba-tiba datang di
kampungnya untuk belajar agama kerana tuntutan kerjanya sebagai seorang
pelakon.
Itulah serba sedikit kisah cinta yang dipaparkan dalam filem
terbaru arahan Azhari Zain, seorang pengarah yang sudah mempunyai pengalaman
luas dalam industri perfileman di Malaysia. Mempertaruhkan jalan cerita yang
lebih bersifat Islamik, Azhari percaya karya terbarunya ini mampu menarik
perhatian peminat industri seni tanah air kerana ia banyak menyuntik elemen
yang berlaku di sekeliling tanpa disedari.
Bekerja di bawah Azhari Zain sangat mudah dan masih
mempunyai ruang untuk relaks sebentar. Sikapnya yang sangat ‘cool’ itu
menjadikan semua yang bekerja di bawahnya tidak dilanda tekanan yang kritikal.
Sudah menjadi tugas seorang pengarah untuk memastikan pelakon yang memegang
peranan masing-masing berjaya menyentuh jiwa penonton nanti.
Ketika berkunjung ke lokasi penggambaran filem
Assalamualaikum Cinta ini, tidak ada suara membentak keluar daripada mulut
lelaki itu. Sesekali kedengaran lelaki itu menjerit ‘cut!’ dan kemudian
memberikan penerangan serta arahan seterusnya untuk babak lain. Keletihan jelas
tergambar di wajah bukan hanya pelakon tetapi juga mereka di sebalik tabir
filem itu namun komited dengan kerja, tiada seorang pun yang merungut.
“Seronok bekerja dengan orang-orang yang sudah sedia maklum
dengan kehendak kita. Tidak perlu jelaskan dengan panjang lebar, mereka sudah
tahu apa yang harus mereka lakukan, bagaimana babak itu dilakonkan.
“Tidak ada gunanya kita marah apabila sedikit kesilapan
berlaku. Dialog salah, ‘angle’ jurukamera juga mungkin tidak menarik tetapi
kesalahan kecil seperti ini boleh dibawa berbincang.
“Idea cerita ini diilhamkan daripada perubahan ramai artis
wanita yang dulunya tidak bertudung mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’ dan
memakai tudung. Apa yang saya paparkan bukanlah perjalanan seorang wanita yang
tidak bertudung kemudian terbuka hati untuk berhijab.
“Konsepnya masih percintaan tetapi menyelitkan cinta dan
takwa kepada Allah melebihi segala-galanya. Masyarakat selalu menggambarkan
wanita berhijab harus selalu tersenyum
kerana senyuman itu satu sedekah namun watak Diana tidak begitu,” katanya
ketika ditemubual di lokasi penggambaran.
Pemilihan tempat di sebuah chalet di Morib sangat sesuai
dengan tuntutan latar belakang cerita yang kebanyakan babak berlaku di sebuah
kampung. Bangunan yang digunakan untuk mengajar kelas agama berada di
tengah-tengah hutan kayu bakau menghidupkan lagi plot pada filem itu.
Khusyuk skrin televisyen kecil untuk melihat mereka
berlakon, tiba-tiba Kamal Adli yang memegang watak Amirul, berlari terus
berlutut di hadapan ayah Laila, memohon sedikit pengertian agar mereka
bersimpati dan memberitahu keberadaan Laila (Diana). Caranya yang berlari dan
terus duduk di hadapan ayah Laila menimbulkan sedikit rasa sakit pada lutut
namun ekspresi mukanya tidak berubah.
Ternyata, pemilihan pelakon untuk membintangi filem itu
sangat tepat. Kamal yang semakin meningkat naik digandingkan dengan Diana yang
baru saja memakai tudung pada tahun lalu dianggap sebagai gandingan mantap oleh
pengarah filem itu sendiri. Tambahan pula, kedua-dua pelakon itu tidak
mempunyai masalah untuk melakonkan watak sebagai dua insan yang bercinta kerana
sebelum ini mereka pernah membintangi drama bersiri bersama.
Memilih Kamal dan Diana sebagai teraju utama filem ini,
Azhari mempercayai kedua-dua pelakon itu mempunyai aura yang tersendiri.
“Diana baru saja mula bertudung sebab itu menjadikan dia
sangat sesuai untuk watak yang diberikan itu. Tambahan pula, Kamal dan Diana
sama-sama meningkat naik dalam industri seni.
“Kamal mempunyai aura yang tersendiri sebagai lelaki
kasanova yang akhirnya berubah dan mula mencintai agamanya setelah bertemu dan
bergaul dengan masyarakat yang mementingkan norma keagamaan,” tambahnya.
Assalamualaikum Cinta mengisahkan Amirul, seorang pelakon
yang menerima tawaran sebagai watak lelaki Islam. Dia ke sebuah kampung untuk
melihat sendiri kehidupan seorang Imam agar dapat menjiwai watak lakonannya.
Di kampung itu, dia bertemu Laila dan mula mencintai wanita
itu. Dia yang pada mulanya seorang kaki perempuan akhirnya berubah demi
mendapatkan cinta Laila.
No comments:
Post a Comment