MELAKA – Seorang bekas ustazah dicekup berkhalwat oleh
sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bersama teman
lelakinya di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Tun Ali, di sini, awal pagi,
semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Jaim menunggu 15 minit
sebelum pintu bilik hotel berkenaan dibuka lelaki berusia 36 tahun terbabit.
Ketika pemeriksaan, bekas guru agama berusia 24 tahun yang
berasal dari Johor itu ditemui lengkap bertudung labuh dan jubah duduk di
katil, manakala teman lelakinya iaitu seorang peniaga berbaju kemeja, seluar
panjang dan berkopiah.
Lelaki berstatus duda tanpa anak itu berasal dari Pahang
turut berperwatakan sebagai lelaki warak dengan berjanggut.
Soal siasat pegawai Jaim turut mendapati wanita berkenaan
seorang hafizah yang menuntut di sebuah pusat tahfiz di selatan tanah air
sebelum bergelar ustazah.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani,
berkata ketika ditahan kedua-dua pasangan terbabit mendiamkan diri.
Katanya, apabila keluarga wanita itu dihubungi pihaknya bagi
memaklumkan mengenai tangkapan itu, Jaim mendapat maklumat mengejutkan apabila
diberitahu tujuannya anaknya datang ke sini untuk menziarahi neneknya.
“Mereka tiba di negeri ini dengan menaiki bas pada lewat
petang semalam (kelmarin) sebelum bermalam di hotel berkenaan,” katanya, di
sini, semalam.
Pasangan terbabit antara tiga pasangan yang dicekup dalam
operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), polis,
Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan Melaka Invest.
Operasi selama enam jam bermula 11 malam itu disertai 50
pegawai dan anggota daripada agensi kerajaan berkenaan dengan memeriksa
menyerbu tiga lokasi di Sungai Melaka, Jalan Tun Ali dan Taman Melaka Raya.
Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk diambil
keterangan lanjut dan wanita itu sudah dijamin keluarganya tengah hari,
semalam, dan lelaki terbabit masih menunggu warisnya sehingga petang.
Sementara itu, katanya, dalam tangkapan di hotel bajet sama,
dua lagi pasangan berusia 25 dan 51 tahun dicekup kerana berkhalwat.
Katanya, pasangan membabitkan lelaki berusia 51 tahun dan
pasangannya berusia 35 tahun yang juga ibu tunggal itu datang dari Johor untuk
ke Kuala Lumpur, singgah di negeri ini untuk bermalam sebelum meneruskan
perjalanan.
“Pasangan berkenaan membawa dua sepupu perempuan kepada
wanita berkenaan, bagaimanapun lelaki terbabit tidur bersama temannya itu.
“Manakala, satu pasangan membabitkan lelaki berusia 29 tahun
dan wanita 25 tahun ialah warga Indonesia yang bekerja secara sah di negeri
ini, mendakwa sudah berkahwin dengan dinikahkan oleh rakan mereka baru-baru
ini.
“Dakwaan lelaki itu tidak dapat diterima kerana dia gagal
membuktikan pernikahan mereka,” katanya. – myMetro Online
No comments:
Post a Comment