Sebanyak 530 laporan polis daripada pelbagai pihak dibuat di
seluruh negara sehingga 2 petang hari ini bagi membantah rancangan perhimpunan
oleh penyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.
Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), 475
laporan diterima setakat semalam.
Hari ini, dua lagi laporan polis dibuat iaitu oleh Pemuda
UMNO Wilayah Persekutuan (WP) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia
(PPPM).
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar
menggesa polis mengambil tindakan pencegahan awal untuk menghadapi perhimpunan
itu.
"Kita risau kesusahan akan berlaku bagi warga kota. Ia
boleh menjejaskan rutin harian orang ramai," katanya selepas membuat
laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.
Presiden PPPM, Datuk Mohd Firdaus Abdullah, berkata pihaknya
membuat laporan polis di Kuantan pada jam 3 petang tadi sebagai membantah
perhimpunan itu.
Beliau berkata, perhimpunan itu antara lain, akan mengundang
kesusahan kepada masyarakat Cina di negara ini yang membuat persiapan menjelang
perayaan Tahun Baru Cina.
"Kita dapat laporan mereka (orang Cina) takut untuk
datang membeli-belah di Kuala Lumpur sempena menyambut Tahun Baru cina tidak
lama lagi," katanya.
Perhimpunan itu dirancang sempena keputusan mahkamah
berhubung kes liwat yang dihadapi Anwar yang dijadual diumumkan pada Isnin.
No comments:
Post a Comment