KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar,
semalam menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM)
terbabit dalam tiga insiden letupan di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Kuala
Lumpur, Jalan Duta di sini, sejurus keputusan perbicaraan kes liwat Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan, Isnin lalu.
Beliau turut menganggap tuduhan itu sebagai berniat jahat,
selain cubaan pihak tertentu menjejaskan imej pasukan dan kerajaan, lebih-lebih
lagi dalam mendukung penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2011.
“Sebagai Ketua Polis Negara, saya amat kesal, kecewa dan
marah dengan tuduhan sebegini... walau sebaik mana pun pegawai dan anggota saya
melaksanakan tugas, orang masih kata kita (polis) jahat.
“Justeru, kita menawarkan sagu hati RM10,000 kepada
mana-mana individu atau pihak yang boleh menyalurkan maklumat hingga
tertangkapnya dalang utama kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum
Persefahaman (MOU) di antara PDRM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi
pelaksanaan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) di Bukit Aman,
semalam.
Ismail berkata, walaupun bahan letupan digunakan tempoh hari
dari jenis Improvise Explosive Device (IED) yang hanya mampu menghasilkan kesan
letupan berskala kecil, pihaknya memandang serius aliran itu kerana boleh
menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, sekali gus mencemarkan imej negara
di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad
Salleh, berkata tiga bom buatan sendiri jenis IED yang meletup itu dipercayai
didalangi mereka yang berpengetahuan dalam bidang pembuatan bahan letupan itu.
Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati motif utama
bahan letupan itu diletupkan bukan untuk membunuh atau mendatangkan kecederaan
parah, sebaliknya hanya bertujuan menimbulkan keadaan huru hara.
“Siasatan terperinci dan menyeluruh sedang dilakukan pihak
polis. Oleh itu, saya minta media dan masyarakat tidak membuat sebarang
spekulasi berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis
Penyerahan Cek Bantuan Nafkah dan Persekolahan dari Tabung Amanah Perwira dan
Pertahanan Negara (TAAPN).
Mohmad turut menjelaskan komponen bahan letupan yang
digunakan suspek berdasarkan bahan bukti yang ditemui, termasuk jam penggera,
paip polikarbonat (PVC), penutup paip, bateri dan wayar merah dan hitam.
“Bahagian depan jam penggera terdapat tiga warna iaitu
merah, biru dan kuning, manakala bahagian belakang berwarna merah. Paip PVC
yang digunakan berukuran 50 milimeter dan penutup paip yang tertera nombor siri
454.
“Bateri berbentuk segi empat yang digunakan dari jenama GP,
Kinglon dan Eveready.
“Justeru, saya minta mana-mana peniaga yang menjual barangan
berkenaan melebihi tiga kuantiti diminta tampil untuk membantu siasatan,”
katanya sambil berjanji akan menyelesaikan kes itu secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment