SUAMI isteri ini artis popular dan kedua-duanya sangat mesra
media. Bagaimanapun di sebalik sikap mereka itu, seorang rakan SS mengadu yang
dia agak kurang berkenan sikit dengan sikap si isteri yang ada kala lebih sudu
daripada kuah.
Mulanya SS tak faham kerana kalau dah mereka berdua mesra
media, apa lagi masalahnya? Baguslah macam itu kerana sekurang-kurangnya mereka
tahu juga menghargai jasa media yang banyak membantu menaikkan nama mereka.
Bukan macam sesetengah artis, dengan sombongnya dia beritahu baik dengan
seorang dua wartawan saja.
Suka hati kaulah, asalkan kau bahagia. Kurang sedikit kerja
SS kerana tak perlu susah payah buat cerita pasal artis itu lagi kerana setahu
SS, SS tidak termasuk dalam senarai wartawan yang rapat dengannya. Bila dah
bercerai-berai esok, barulah dia akan menggagau cari wartawan semula. SS dah
biasa dengan situasi sebegitu.
OKlah, berbalik kepada kisah pasangan suami isteri popular
tadi, ceritanya begini. Dalam seminggu dua yang lalu, rakan SS ternampak mereka
di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Kebetulan rakan SS membuat
liputan pada satu majlis yang diadakan di pusat beli-belah itu.
Wah! apa lagi, berlarilah rakan SS pergi berjumpa mereka.
Lalu selepas berbalas salam dan bertanya khabar serba sedikit, dia pun terus
beritahu pada suami artis itu yang dia sangat suka melihat aksi aktor itu dalam
sebuah filem. Walaupun wataknya muncul sekali sekala tetapi meninggalkan impak
yang besar. Artis hebat begitulah selalunya, tak perlu berdialog panjang tetapi
cukup untuk membuat penonton mengingatinya sampai bila-bila.
Belum sempat si suami memberikan reaksi, si isteri yang
berdiri di sebelah, dah berkicau. Dia pun beritahu rakan SS, memang ramai yang
memuji lakonan suaminya dan berjela lagilah ceritanya sehingga membuatkan rakan
SS dan suami itu terus diam seribu bahasa. Kalau SS jadi laki dia, balik rumah,
SS ketuk kepalanya.
Tolonglah! orang puji laki awak, yang awak nak menyibuk sama
buat apa? Tak payahlah turut puji laki sendiri. Kalau nak menyampuk pun,
bagilah peluang laki awak bercakap dulu kerana yang kena puji dia, bukannya
awak.
Dek kerana si isteri tak berhenti bercakap, rakan SS terus
‘angkat’ kaki kerana kalau dia terus menunggu lebih lama di situ, mahu biul
dibuatnya.
No comments:
Post a Comment